Mampukah BN P.Pinang raih kembali sokongan kaum Cina?

Dalam persediaan menghadapi PRK Dun Permatang Pauh yang berkemungkinan diumumkan pada bila-bila masa, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang giat berusaha mengenal pasti kawasan yang mempunyai potensi untuk meraih kembali sokongan pengundi Cina di negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow berkata, mengenai usaha tersebut, satu pendekatan baharu akan dilaksanakan oleh MCA dan Gerakan negeri dalam membawa rungutan dan isu rakyat dari kawasan berkenaan kepada BN untuk diselesaikan.

“Rungutan terhadap Pakatan Rakyat memang sudah terdengar dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini. Usaha sekarang ialah bagaimana kita boleh menukar rungutan ini kepada undi.”

“Ini adalah cabaran kepada MCA dan Gerakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di Wisma Transformasi UMNO di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, kedua-dua parti komponen tersebut masih dalam proses pengumpulan data untuk memantau peratusan bilangan pengundi Cina yang kembali menyokong BN sama ada berada pada tahap memuaskan atau sebaliknya.

Sehubungan itu, menurut Teng, BN negeri ketika ini lebih fokus dalam kempen multimedia baharu khususnya dalam menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Namun, beberapa jentera parti perlu diperkemaskan lagi bagi memastikan PRK kali ini memihak kepada BN, manakala persiapan di peringkat bahagian pula, ia dilihat berjalan lancar dan amat baik.

“Kita tak pasti (bila PRK Permatang Pauh akan diadakan) sebab sudah ada permohonan pengampunan. Bagaimanapun, kita kena lakukan kerja-kerja persiapan supaya kita tak terperangkap dengan keadaan mengejut.”

“Kita tak boleh menunggu sehingga (kerusi Parlimen Permatang Pauh) diisytiharkan kosong.”

“Kita kena mulakan kerja-kerja kita dari sekarang. Kalau tak diisytiharkan kosong dalam jangka masa terdekat ini, kita buat sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Pada 24 Februari lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan beliau telah menerima salinan petisyen pengampunan yang difailkan oleh isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ia berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas menolak rayuannya pada 10 Februari lalu. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small