Majlis Syura PAS “bodoh”.., “dungu” dan “jumud”.. – Ibrahim Ali

Tindakan pemimpin Pas yang melarang anggota-anggota parti itu menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dikecam hebat oleh Perkasa.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam kenyataannya menyifatkan sikap Majlis Syura PAS itu sebagai “tidak demokratik, bodoh, lucu, dungu dan jumud.”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, yang menggesa PasMa dibubarkan sebelum anggota-anggotanya dibenar bersama parti Islam.

Memetik kenyataan Nik Zawawi itu adalah sebagai menjawab hasrat PasMa mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS bagi membincangkan kemelut dalaman Pakatan Rakyat.

Pasma diwujudkan ketika pergeseran yang jelas dalam PR khususnya isu Menteri Besar Selangor di mana jelas perbezaan yang dihadapi antara Pas, PKR, dan DAP.

Ibrahim bagaimanapun berkata, PasMa bukan sebuah parti politik dan PAS tidak berhak mengambil tindakan kepada ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Kalau PasMa menjadi parti politik, maka PAS wajib bertindak memecat (mereka) yang masuk PasMa kerana setiap individu tidak boleh menjadi ahli kepada dua parti politik.”

“Tapi PasMa belum jadi parti politik, ahli PAS mahu menjadi ahli PasMa, itu hak individu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa PAS supaya lebih bersikap budiman dan demokratik dalam menghadapi PasMa yang lantang mengkritik pucuk pimpinan yang tidak pro-Pakatan Rakyat.

“Pemimpin PAS tidak patut jadi pengecut, autokratik atau bersifat diktator. Lawan cara politik, ada sifat istiqamah dan gentleman,” katanya.

Perkasa sememangnya dilihat sebagai sebuah pertubuhan NGO yang agresif dan ekstrem mempertahankan isu-isu sensitif berkaitan agama Islam dan orang Melayu, tetapi ia turut mengkritik semua parti politik termasuk Barisan Nasional dan UMNO. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small