Lepas 1 April, Kerajaan tak akan bagi muka pada peniaga TAMAK!!

Mulai 1 April ini, kerajaan akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang selepas pelaksaan tersebut bakal dikenakan tindakan tegas termasuk disenaraihitamkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, mengenai tindakan tersebut, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bekerjasama dengan KPDNKK bagi memburu peniaga yang tidak bertanggungjawab itu menerusi operasi antipencatutan (ops catut).

Menurut beliau, oleh kerana Akta GST adalah di bawah bidang JKDM, ia memerlukan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi melancarkan operasi berkenaan yang akan bermula pada 2 April ini.

“Sebagai persediaan awal kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 451,794 premis bermula 15 Januari hingga 11 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan kes yang diambil ialah sebanyak 2,498 kes dengan nilai rampasan berjumlah 426,857 dan nilai kompaun sejumlah RM279,166.”

“Sehubungan itu, bermula 2 April ini kita akan menggerakkan satu operasi fasa kedua secara besar-besaran bagi memastikan peniaga terbabit tidak mengambil kesempatan dengan GST,” katanya.

Alias Ahmad dalam kenyataannya itu dalam sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2015 di Putrajaya, semalam.

Mengulas lanjut, berkata, pengguna boleh membuat aduan terus kepada KPDNKK sekiranya mendapati peniaga yang menaikkan harga barangan sebelum dan ketika pelaksanaan GST.

Malah, katanya, sekiranya peniaga tersebut didapati bersalah, peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di mana bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama atau RM1 juta bagi kesalahan seterusnya.

“Bagi individu pula mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala untuk kesalahan seterusnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.”

“Selain itu, bagi menambah hukuman terhadap peniaga terbabit mereka juga akan disenaraihitamkan,” katanya.

Jelasnya lagi, cukai tersebut hanya boleh dikenakan kepada pengguna oleh syarikat yang mendaftar dan pendapatan tahunan melebihi RM500,000 setahun.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada yang mana ia dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-2