Konvensyen Umno Kedah untuk hadapi PRU14.

Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan Konvensyen UMNO bermula 14 Mac ini dan ia harus dijadikan platform oleh setiap pemimpin UMNO termasuk di peringkat akar umbi berbincang dan mencambah buah fikiran sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, “UMNO Tonggak Transformasi” merupakan tema konvensyen tersebut yang mana akan menjadi pemangkin kepada gerak kerja UMNO Kedah yang fokus untuk memperkukuhkan parti.

Menurut beliau, perasmian konvensyen tersebut akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dihadiri oleh pemimpin dari 15 bahagian UMNO Kedah serta ketua pusat daerah mengundi (PDM).

“Konvensyen ini akan jadi pemangkin kepada gerak kerja PRU-14 untuk jaminan rakyat tetap bagi sokongan kepada parti. Pertama kali kita libatkan ketua PDM adalah untuk mendapatkan input berkaitan isu yang mungkin berbanding di kawasan masing-masing.”

“Semua pandangan atau idea yang dicambahkan dalam konvensyen ini termasuk isu-isu yang mungkin dicetuskan akan dikumpul dan diperhalusi. Apa yang penting pada penamat konvensyen ini beberapa resolusi akan dimuktamadkan hasil perbincangan semua perwakilan yang hadir seterusnya akan dijadikan pelan tindakan ke arah persediaan PRU-14.”

” Apa yang penting juga kehadiran Presiden UMNO yang bakal menyampaikan amanat kepada semua peserta untuk dihayati,” katanya di Alor setar, Kedah, semalam.

Mengulas mengenai isu yang bakal dibangkitkan dalam konvensyen tersebut, Othman Aziz berkata, antara topik yang akan dibincangkan dalam sesi meja bulat antara semua perwakilan adalah membabitkan isu ekonomi, sosial dan sukan.

“Antara yang akan dibentangkan adalah berkaitan cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim sehingga ke pembangunan bola sepak Kedah yang mungkin dilihat tidak penting, namun cukup relevan dengan parti kerana ia mampu melonjak semangat rakyat negeri ini.”

“Perkara tersebut sangat penting bagi UMNO Kedah ke arah trans­formasi yang mam­­pu menjamin ke­lang­sungan parti,” katanya.

Jelasnya, para peserta konvensyen tersebut adalah ter­diri daripada se­mua Jawatankuasa Per­hu­bu­ngan negeri dan bahagian termasuk di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri selain 672 ketua atau wakil PDM.

“Kita akan memecahkan semua peserta kepada beberapa kumpulan seperti ketua PDM yang menang dan yang kalah pada PRU sebelum ini kerana isu dibangkitkan mungkin berbeza selain menjadikan mereka lebih fokus ke arah mencari hala tuju parti,” katanya.

Sementara itu, Othman Aziz memberitahu, pada 15 Mac ini, majlis penutup konvensyen yang akan berlangsung di TH Hotel itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

“Kita juga menjemput 10 ahli akademik daripada beberapa pusat pengajian tinggi bagi memberi input ilmiah selain memandu peserta ke arah perbincangan yang menepati topik konvensyen agar tidak tersasar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, atur cara majlis pada hari pertama konvensyen akan bermula dengan acara perasmian oleh Presiden UMNO pada pukul 11 pagi sebelum ucaptama konvensyen oleh Mukhriz pada pukul 2.30 petang.

“Acara lain yang turut diadakan seperti majlis makan malam serta ceramah integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malamnya sementara sesi perbincangan meja bulat serta pembentangan resolusi akan diadakan esoknya sebelum ucapan penggulungan,” katanya.

Othman Aziz dalam kenyataannya turut menambah, ketika ini, UMNO Kedah fokus dalam gerak kerja menambah ahli dan pemilih baharu sebagai persediaan PRU-14.

“Kita sedang melaksanakan kempen daftar memilih dengan melantik pegawai daftar di bahagian selain setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga diberi tauliah untuk berbuat demikian. Semua ini juga ke arah memperkasakan parti,” katanya. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small