KETUA PEMBANGKANG KENA TEMBAK – UtaraNews.com

MOSCOW – RUSIA. Pemimpin pembangkang Rusia, Boris Nemtsov ditembak mati berhampiran Kremlin, sehari sebelum bantahan terhadap kerajaan dijadualkan berlangsung.

Kementerian Dalam Negeri Rusia memaklumkan, Nemtsov terkena empat tembakan di belakangnya, ketika beliau merentasi Jambatan Moskvoretsky di tengah Moscow, tengah malam semalam.

“Ketika kejadian, Nemtsov berjalan bersama seorang kenalan wanitanya sebelum seseorang daripada sebuah kenderaan melepaskan tembakan ke arahnya.

“Wanita itu tidak cedera dan telah disoal siasat polis,” kata Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Yelena Alexeyeva.

Presiden Rusia, Vladimir Putin segera menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya dan melabelkan pembunuhan itu sebagai satu provokasi.

Sementara itu, Washington menggesa agar siasatan telus diadakan segera untuk membawa pembunuh Nemtsov ke muka pengadilan.

Nemtsov memulakan kerjaya politiknya sebagai gabenor wilayah Nizhny Novgorod dan kemudian menjadi Perdana Menteri pada lewat tahun 90an sewaktu pemerintahan presiden Boris Yeltsin.

Pembunuhan Nemtsov berlaku menjelang perhimpunan besar-besaran pihak pembangkang di Moscow yang akan diadakan hari ini bagi membantah campur tangan Rusia di Ukraine.

Dalam satu temu bual bulan lalu, Nemtsov pernah menyuarakan kebimbangannya bahawa beliau mungkin akan dibunuh kerana menentang perang di Ukraine. – AFP

ep2p-2