Kenapa DAP tak ambil tindakan pada ADUN kaki Judi?

Rakaman video yang membabitkan individu yang dikatakan mirip seorang wakil rakyat DAP Selangor didakwa sedang bermain judi baru-baru ini menjadi viral di media sosial dan mengundang pelbagai persepsi oleh masyarakat. Oleh kerana itu, parti pembangkang, DAP digesa menjalankan sisatan dengan segera kerana perkara berkenaan melibatkan soal integriti parti.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, perkara tersebut perlu diambil serius oleh pucuk pimpinan DAP disebabkan ia membabitkan soal kepentingan awam khususnya pengundi di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, katanya, imej DAP turut tercalar akibat video tersebut dan siasatan terperinci perlu dilakukan demi memastikan individu di dalam rakaman berkenaan ialah orang yang sama atau pelanduk dua serupa.

“Kalau perkara ini terjadi kepada parti lawan, biasanya pemimpin DAP akan lantang bersuara dan mensensasikan isu terbabit terma­suk mendesak agensi kerajaan terlibat seperti polis menyiasatnya.”

“Jadi, apabila terkena batang hidung sendiri seperti ini, DAP sepatutnya menyiasat secara telus tanpa menyembunyikan fakta, bukannya bersikap lepas tangan,” katanya dalam kenyataan di Pulau Pinang, semalam.

Rahmad ketika ditemui media mengulas video seorang lelaki yang didakwa mirip seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor yang terlibat dalam aktiviti perjudian dengan sekumpulan lelaki semasa sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang disebarkan secara meluas di media sosial.

Beliau dalam kenyataannya turut menggesa wakil rakyat DAP yang dikaitkan sebagai individu dalam video tersebut supaya tampil dan menjelaskan perkara sebenar kepada umum.

“Jika benar seperti apa yang didedahkan video itu, individu terlibat perlu melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat dan bertanggungjawab terhadap integriti serta maruah parti yang telah dicalarkan,” katanya.

Rahmad yang juga bekas ahli DAP itu menambah, sekiranya individu terbabit benar terlibat seperti yang termaktub di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan, Jawatankuasa Disiplin parti tidak boleh mengambil tindakan ke atasnya, namun mereka boleh menjalankan siasatan dalam mencari kebenaran berhubung isu itu.

Baru-baru ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Balakong, Eddie Ng menerima nasib kurang baik apabila gambar miripnya yang sedang bermain judi tersebar di media sosial. Difahamkan, DAP melarang semua anggotanya terlibat dalam kegiatan perjudian meskipun tidak melibatkan wang. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small