Kehilangan Datuk K tak jejaskan Umno Batu Kawan.

Pelucutan jawatan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan disokong penuh oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Mohamed Hilme Ibrahim berkata, melihat keputusan tersebut, ahli-ahli UMNO meyakini keputusan di peringkat Pusat dan ia tidak akan menjejaskan parti di kawasan itu.

“Beliau dipilih oleh ahli UMNO pada pemilihan tahun 2013 dan ketika ini jawatan itu sudah kosong. Saya difahamkan kekosongan berkenaan akan kekal sehingga 2016,” katanya dalam sidang akhbar di Buit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

Merujuk laporan sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan jawatan Khairuddin dilucutkan selepas disahkan muflis oleh mahkamah pada tahun lalu.

Mohamed Hilme menjelaskan, ketika Khairuddin memegang jawatan tersebut, kawasan berkenaan tidak menerima sebarang sumbangan, malah ia bukan satu kerugian dengan ketiadaan Naib Ketua UMNO Bahagian itu.

“Dia tinggal di Kuala Lumpur dan mendakwa kenal ramai orang tetapi langsung tidak bantu Pemuda Bahagian, jadi kami tidak berasa ralat selepas ketiadaannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau dengan nada sindiran meminta individu-individu tertentu yang rapat dengan Khairuddin supaya tampil membantunya yang berhadapan dengan masalah kewangan ketika ini.

Baru-baru ini, UMNO Pulau Pinang telah menerima salinan surat pelucutan jawatan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan daripada ibu pejabat UMNO. Bagaimanapun, Khairuddin masih kekal sebagai anggota UMNO dan boleh menghadiri persidangan tahunan di peringkat cawangan tempat beliau menjadi anggota.- AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small