Jawatan Presiden PAS.. Hadi Awang akan lawan habis-habisan..

Desas-desus yang mengatakan jawatan Presiden Pas bakal dicabar dalam Muktamar Tahunan pada Jun ini tidak melumpuhkan semangat Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malah beliau menegaskan sedia dicabar dalam pemilihan parti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, jawatannya yang disandang sejak tahun 2002 selepas kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor itu akan tetap dipertahankan.

Menurut beliau, Muktamar Tahunan Pas sememangnya memperuntukkan pemilihan untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden setiap dua tahun dan mana-mana individu yang mempunyai cukup pencalonan berhak untuk berbuat demikian selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan Pas.

“Tetapi kita kena tunggu dahulu memandangkan mesyuarat agung Pas Kawasan belum bermula. Kalau ada pencabar, boleh cabar saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di Kuala Lumpur, semalam.

Sebanyak 22 kawasan Pas di Selangor akan mengadakan Mesyuarat agung yang bermula pada 15 Mac ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan pusat.

Abdul Hadi ketika ditanya berhubung kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad yang menyatakan jawatan Presiden parti tidak semestinya disandang oleh golongan ulama, beliau menjawab:

“Itu kena tanya orang Pas. Jangan tanya saya. Saya tidak boleh pilih saya sendiri.”

Memetik kenyataan Khalid menerusi sebuah portal berita baru-baru ini bahawa jawatan Presiden Pas lebih sesuai disandang individu yang mempunyai kepakaran politik dan tidak semestinya dalam kalangan ulama.

Dalam perkembangan yang lain, Abdul Hadi ketika diminta memberi ulasan mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993, beliau menjelaskan, pindaan RUU itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu hadapan.

“Kita ada menambah beberapa elemen baharu melihat kepada kesesuaian Perlembagaan yang perlu dipinda.”

“Antaranya tentang kedudukan bukan Islam kerana dalam undang-undang syariah, orang bukan Islam boleh membuat pilihan sama ada dihukum mengikut undang-undang Islam atau undang-undang agama mereka,” katanya.

Sebeum ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan meramalkan jawatan Presiden Pas yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar dalam muktamar tahunan Pas tahun ini.

Menurutnya, berdasarkan politik dalaman yang dilalui Pas kini, boleh dikatakan semua jawatan dalam parti akan dicabar sama ada oleh golongan profesional atau ulama. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small