Fizo Omar Tidak Mahu Dipandang Rendah!

Tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada peluang pekerjaan dalam bidang lakonan sebagai rezeki utama dalam hidup sebaliknya Fizo Omar memilih untuk menambah ilmu sebagai bekalan masa depan.

Mengakui pilihan itu membuatkan nama pelakon berusia 30 tahun seolah-olah makin dipinggirkan dalam bidang lakonan, namun Fizo berkata, dia reda. Malah Fizo memberitahu, keputusan yang dibuat itu bakal memberi banyak manfaat kepada dirinya sendiri dan bersifat kekal.

“Saya bakal menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengurusan perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam tempoh terdekat. Bahkan saya turut menyasarkan tempoh lima tahun lagu untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang yang sama selepas saya tamat di peringkat sarjana,” ujar Fizo.

Mengulas lanjut, kata Fizo, dia tidak mahu lagi masyarakat memandang rendah terhadap golongan artis hanya disebabkan mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat. Justeru kata Fizo lagi, dia perlu melakukan anjakan atau sekurang-kurangnya mewakili golongan artis untuk menjadi contoh kepada belia seiring dengan arus perkembangan masyarakat.

“Ada yang mengata saya bercakap besar bila saya memberitahu mahu melanjutkan pengajian di peringkat universiti tapi saya tak kisah. Sebab saya tahu ilmu saja bekalan paling berharga buat seorang itu,” ujarnya.

BACA:- Fizo Omar Dan Mawar Fareeda Bersedia Ada Anak

Fizo Omar Tidak Mahu Dipandang Rendah!

Menurut Fizo, dia perlu berkorban salah satu bidang yang menjadi kecenderungannya kerana bimbang tidak dapat memberi sepenuh perhatian dek kekangan masa.

Memilih bidang perniagaan berasaskan makanan dan menolak tawaran lakonan, namun begitu tambah Fizo, keputusan itu hanya sementara. Fizo memberitahu, dia akan mempertimbangkan tawaran lakonan asalkan tidak bercanggah dengan rutin hariannya.

“Saya masih sayangkan industri hiburan ini yang merupakan platform memperkenalkan saya kepada khalayak. Jadi mana mungkin saya akan tinggalkan dunia lakonan begitu saja.

“Pada masa yang sama, saya juga mempunyai tanggungjawab lain terhadap keluarga. Tak adil bukan kalau saya tamak, nak bolot semua tawaran lakonan.

“Justeru, saya kena bijak membahagikan masa dengan baik,” ujarnya yang bakal menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Talak tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Fizo turut melahirkan rasa cemburu melihat lakonan rakan seperjuangannya seperti Kamal Adli dan Hairul Azreen di televisyen sedangkan dia tiada drama baharu. Mengambil pendekatan positif berhubung perkara itu, Fizo juga berharap agar lakonannya selepas ini bakal memberi kesan kepada khalayak.

30 total views, 30 views today

ep2p-2