Datuk K dipecat kerana bankrap.., bukan kerana 1MDB.

UMNO Pulau Pinang mengesahkan pemecatan bekas Naib Ketua Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilakukan selepas beliau diistihar muflis oleh mahkamah pada 24 Mei 2014 sekaligus menolak andaian segelintir pihak yang mendakwa beliau dipecat setelah bertindak menentang pelaksanaan dasar 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Musa Sheikh Fadzir berkata, pemecatan Khairuddin sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan disahkan selepas UMNO Malaysia menghantar surat rasmi setelah siasatan dibuat terhadap beliau.

Musa berkata, tindakan UMNO memecat Khairuddin adalah satu perkara mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh perlembagaan parti berkenaan dan ia dilakukan selepas UMNO melakukan penyiasatan terperinci terhadap laporan yang dibuat sebelum ini.

“Pelucutan jawatan beliau adalah selaras dengan Perlembagaan Umno dan  Peraturan-Peraturan Persidangan Umno.

“Ia juga selaras dengan Perkara 9A (1)(d) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan seorang bankrap yang belum dilepaskan tidak boleh memegang sebarang jawatan di dalam pertubuhan.

“Beliau telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap oleh Mahkamah pada 24 Mei 2014 dan satu laporan mengenai kebankrapan dirinya telah dibuat ke ibu pejabat Umno Malaysia,” kata Musa dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, walaupun Khairuddin telah dipecat sebagai Naib Ketua Bahagian namum keahliannya di dalam UMNO masih lagi kekal dan beliau boleh menghadiri setiap persidangan tahunan yang diadakan di bahagian Batu Kawan. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor

ep2p-5small