Bukan Islam dikenakan tindakan jika Tak Tutup Aurat di Terengganu?

Kerajaan negeri Terengganu sebelum ini telah menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Syariah 2001 yang melarang orang awam kelakuan tidak senonoh dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, justeru itu, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee, mahu enakmen ini turut dikenakan kepada orang bukan Islam

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu berkata, undang-undang ini harus dikenakan kepada semua kaum dan agama kerana tiada agama yang membenarkan umatnya berpakaian menjolok mata dan ini baru adil bagi seluruh rakyat di negeri itu.

“Saya ingin cadangkan supaya undang-undang ini turut merangkumi bukan Islam. Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh. Tidak ada agama yang membenarkannya,” kata Ridhuan Tee.

Ridhuan Tee berkata, bagi mereka yang enggan mematuhi peraturan berkenaan tidak seharusnya datang ke Terengganu kerana masih ramai yang mahu berkunjung ke negeri pantai timur itu.

“Bagi mereka yang bukan rakyat Terengganu. Datang ke tempat orang ikutlah pepatah ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.Tak nak ikut, jangan datang. Ramai lagi yang nak datang.” katanya menerusi sumber akhbar Sinar Harian.

Sebelum itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman telah menegaskan bahawa undang-undang syariah ini hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja dan meminta orang bukan Islam supaya menghormati penguatkuasaan undang-undang ini. -Alip Danial/Utaranews.com-

ep2p-5small