BOMOH PUJA KUCING TERUS MENGAMUK

KUALA LUMPUR – Tidak banyak yang melegakan hati penduduk meskipun selepas empat hari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan serbuan ke atas sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda yang dihuni sepasang suami isteri didakwa mengaku sebagai bomoh dan membela lebih 40 ekor kucing untuk tujuan pemujaan.

Salah seorang penduduk berkata, walaupun struktur halangan depan unit rumah lelaki itu telah dirobohkan, ia tidak mengubah sikap pelik individu itu yang sering mengamuk tanpa sebab.

Malah pada malam hari selepas serbuan minggu lalu, lelaki itu didakwa menjerit-jerit sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Lelaki itu disyaki pecahkan saluran paip luar sebuah unit kosong menyebabkan najis kucing yang dibersihkan di kaki lima unitnya mengalir ke bawah dan mengenai unit rumah bawah,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi sumber penduduk berkata, lelaki itu masih membuang sisa pasir najis kucing ke bawah bangunan setiap hari.

Malah perkara berkenaan turut diakui oleh pekerja pembersihan di kawasan berkenaan.

“Dia baling jauh sedikit, tidak betul-betul jatuh di bawah flat, tapi najis itu akan kena kereta orang,” katanya.

Turut didakwa, lelaki berkenaan bertindak melemparkan botol kaca berisi sos ke salah sebuah unit, tanpa sebab, sehari selepas serbuan.

“Nasib baik tidak kena penghuni kerana pintu bertutup,” katanya.

ep2p-5small