Anis tak kisah

Hubungan rapat Anis al-Idrus dan pelakon berkarakter, Sharnaaz Ahmad diperkatakan sejak awal tahun lalu, namun sehingga kini pelakon dan model jelita itu enggan membuat pengesahan.
Setiap kali ditanya media, Anis atau Sharifah Anis Syed Al-Idrus, 27, hanya mengatakan mereka berkawan. Jawapan sama diberi ketika menemani Sharnaaz menghadiri majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014) di Laman Mahsuri, Hotel Royal Chulan, baru-baru ini.
Namun, bait ayatnya kali ini seakan-akan memberi petanda ada ‘sesuatu’ antara mereka. Anis juga secara tidak langsung menepis perkhabaran kononnya hubungan cinta mereka berakhir.
Gosip itu dikatakan timbul apabila Sharnaaz mengucapkan tahniah kepada Shila Amzah di Twitter selepas berlangsungnya Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) hingga mengundang rasa cemburu Anis. Dia memadam gambar mesra mereka, sementara Sharnaaz memuat naik gambar berkaitan luahan rasa kecewa di laman sosial Instagram miliknya.
Anis menegaskan, tidak ada masalah dengan Sharnaaz, malah mereka masih berkawan seperti biasa.
“Kenyataan saya sebelum ini diputar belit. Hakikatnya, saya dan Sharnaaz tidak ada masalah. Kalau pun ada masalah, bukan pasal kami berdua. Ada benda lain berlaku dan apa pun ia, biar kami saja yang tahu.
“Soal ucapan tahniah, Sharnaaz bertindak sedemikian atas dasar profesionalisme dan ia sedikit pun tidak mengguris hati saya. Kalau setakat ucap tahniah tak ada salahnya, industri kita pun kecil, pusing-pusing jumpa balik.
“Kalau ditakdirkan mereka bekerjasama satu hari nanti pun, saya tidak kisah. Masing-masing ada kisah silam dan saya adalah kehidupannya sekarang. Jika dia boleh terima masa silam saya, saya pun kena terima juga masa silamnya,” katanya.
Mengenai status mereka berdua, Anis dengan lembut berkata, biar pihak lelaki menjawab soalan itu. Katanya, sebagai wanita, tidak manis untuknya memperkatakan perkara itu selain perlu menjaga nama baik keluarga.
“Soal ini biar Sharnaaz yang cakap. Dari dulu saya tak akan beri apa-apa kenyataan atau pengesahan. Apa saja kenyataan dia, itulah kenyataan saya. Apa dia cakap, betullah,” katanya yang mengaku mengenali jejaka itu sejak 2013 namun semakin rapat awal tahun lalu.
Mengenai Sharnaaz, Anis berkata, pelakon itu sangat baik. Sepanjang berkawan dengannya, Shaarnaz tidak pernah berkasar, jauh sekali menunjukkan sikap baran seperti diperkata ramai sebelum ini.
“Kalau tidak ada yang cuit dia, dia tidak akan marah. Begitu juga saya, kalau orang tak cari pasal, takkan kita nak marah. Mungkin yang bercakap itu tidak kenal hati budinya dan terus buat kesimpulan, pada hal dia tidak seperti yang diperkatakan.
“Dia anak bongsu dan saya pula anak tunggal. Sama-sama manja, malah perangai pun lebih kurang sama,” katanya.
Mengenai karier, Anis berkata, program Safiyyah terbitan RTM yang dikendalikannya baru selesai penggambaran dan akan disiarkan April depan.
Katanya, ada tawaran menjayakan drama untuk RTM, namun dia menolak kerana mahu fokus dengan proses pembukaan butik Anis Al-Idrus Wardrobe yang bakal beroperasi di Alam Avenue 2, Shah Alam, Selangor.
“Bulan ini saya tidak ambil apa-apa tawaran kerana butik vendor yang saya usahakan akan dilancarkan pada 6 Mac ini. Ketika kerja ubah suai, saya sibuk dengan rakaman Safiyyah dan sekarang kena fokus.
“Butik ini menghimpunkan 50 jenama dari dalam dan luar negara di bawah satu bumbung. Pelbagai pilihan baju, tudung, kasut, beg dan eksesori menanti pengunjung.
“Kalau boleh saya mahu seimbangkan kerjaya lakonan, pengacara dan bisnes, namun nampak gayanya buat masa ini kena fokus dengan bisnes kerana ia lebih menjamin masa depan.
“Kalau bisnes stabil dan berjalan lancar, bolehlah saya berlari-lari antara butik dan lokasi penggambaran,” katanya.
Kata Anis, Sharnaaz banyak menyuntik semangat untuknya merealisasikan butik ini. Tanpa Sharnaaz, tidak mungkin dia sekuat ini, apatah lagi modal diperlukan bukan kecil jumlahnya.
“Dia selalu ingatkan saya, jangan mengalah. Dialah sumber semangat saya dan turut menyumbang idea untuk konsep butik.
“Dia juga akan melancarkan produk kesihatan dalam waktu terdekat dan boleh dibeli di butik saya,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my

ep2p-2