VIDEO Inside – Sembilan terbunuh pesawat Taiwan terhempas ke sungai

TAIWAN: Sebuah pesawat penerbangan komersial Taiwan yang membawa 53 penumpang terhempas di Taipei pada pagi Rabu.

Sehingga kini Central News Agency Taiwan berkata sekurang-kurangnya 16 orang berjaya diselamatkan.

 

Diberitakan sekurang-kurangnya sembilan terbunuh selepas pesawat itu terbabas ketika berlepas sebelum terjunam ke sungai, pagi tadi.

Seramai 31 pelancong China adalah antara penumpang dalam pesawat itu, kata Biro Pelancongan Taiwan.
Media Taiwan memaparkan gambar pesawat itu dalam Sungai Keelung, yang terletak beberapa meter dari pantai.

Taiwan Central News Agency (CNA) melaporkan pesawat itu yang berlepas dari bandar raya ini dalam penerbangan ke pulau Kinmen, hilang daripada radar kira-kira jam 10.55 pagi dan badan pesawat terjunam ke Sungai Keelung, tidak jauh daripada lapangan terbang Sungshan.

Pesawat yang terbabit adalah daripada jenis ATR-72 turboprop keluaran Perancis yang dikendalikan dua juruterbang.

Badan pesawat itu separuh tenggelam di sungai itu manakala penumpang dan penyelamat di lihat berdiri di badan pesawat dan ada yang berenang ke tebing.

Nahas itu terjadi selang beberapa bulan selepas sebuah pesawat TransAsia ATR-72 terhempas ketika cuba mendarat di Pulau Penghu, Taiwan menyebabkan 48 terbunuh dan 10 cedera. Cuaca buruk dipercayai menjadi punca nahas itu pada Julai lalu. – Reuters

ep2p-5small