VIDEO Dimalukan di tempat sendiri, Annuar Musa kritik TRW

PEMAIN-pemain Kelantan (jersi merah) kelihatan begitu kecewa sementara KOTA BHARU – Selepas diaibkan oleh PDRM, pengurusan dan jurulatih Kelantan ‘dibelasah’ pula Pre­siden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kerana prestasi longlai mereka di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.

Annuar, menerusi entrinya dalam akaun Facebook miliknya semalam, mengingatkan agar kekalahan tersebut dijadikan sebagai pengajaran kepada jurulatih dan barisan pemain The Red Warriors untuk kembali bangkit dalam perlawanan akan datang.

Annuar juga tidak berpuas hati dan mempersoalkan tindakan jurulatih George Boateng meletakkan Erwin Carrillo untuk mengemudi jentera serangan secara bersendirian dalam perlawanan yang menyaksikan mereka kalah 4-0 kepada PDRM.

Annuar berkata, Kelantan memiliki pemain lain untuk digandingkan dengan penyerang dari Colombia itu seperti Emmanual Kengome, Khairul Izuan Rosli dan Mohd. Norfarhan Muhammad.

PDRM membuka tirai jaringan mereka pada penghujung babak pertama menerusi Ashfaq Ali sebelum Dramane Thaore menjaringkan gol kedua menerusi sepakan pe­nalti pada minit ke-53.

Ashfaq terus membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledakan jaringan ketiga PDRM pada minit ke-73 dan Mohamadou Sumareh melengkapkan malam gemilang pasukannya menerusi gol keempat pada minit ke-85.

“Saya melihat perlawanan tersebut menerusi televisyen TRW (The Red Warriors) diabkan di gelanggang sendiri.

“Pemain bermain bersungguh-sungguh tetapi semangat mereka direntap dengan gol kedua PDRM.

“Selepas itu TRW tenggelam dan hilang punca. Ini satu pengajaran dan wake up call untuk jurulatih dan pemain.

“Kaji dan pelajari daripada kekalahan yang pahit ini. Kaji semula line up (kesebelasan utama) dan taktikal pasukan. Kenapa biarkan Carillo keseorangan? Di mana Pacho, Izuan Rosli, Farhan yang sepatutnya berganding dengan Carillo.

Katanya, formasi 4-5-1 yang digunakan menerusi gandingan Amar Rohidan, Issac Pupo dan Mohd. Badhri Radzi juga telah menyebabkan Kelantan sukar menembusi benteng lawan untuk mencari gol.

“Semua perlu dikaji, terutama oleh pengurus dan jurulatih. Semoga kekalahan ini menjadi ubat mustajab (untuk) mengharungi perlawanan seterusnya! Selamat beristirahat dan bersiap untuk perlawanan yang jauh lebih sukar di Kuching (menentang Sarawak) Sabtu ini. Piala FA kalah mati,” beliau mengingatkan.

ep2p-2