VIDEO Bantu JDT menang besar, Safee tagih kepercayaan Hodak

SAFEE SALI (tengah) cuba melepasi halangan tiga pemain East Bengal JOHOR BAHRU – Selepas berjaya menunjukkan aksi cemerlang da­lam perlawanan pertama Kumpul­an F Piala AFC menentang East Bengal, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali kini mengintai peluang untuk terus diberi kepercayaan bermain dalam kesebelasan utama.

Malah, Safee yang membuat kemunculan kelmarin selepas sekian lama tidak beraksi turut mengakui sudah mendapat semula keyakinan, sekali gus membakar semangatnya untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

Safee, 31, menjaringkan satu gol untuk JDT pada perlawanan menentang wakil India itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dengan penuh bergaya menerusi sepakan gunting.

“Dalam bola sepak, membuat sesuatu tindakan dengan pantas adalah penting.

“Pada detik untuk menjaringkan gol, bola itu me­nuju ke arah saya dan ketika itulah saya tidak berfikir lama dan buat keputusan untuk melakukannya (sepakan gunting).

“Saya pernah melakukannya ketika beraksi di Liga Bola Sepak Indonesia dan ­syukur saya sekali lagi berjaya menjaringkan gol,” katanya diminta me­ngulas tentang jaringannya itu dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Gol yang dijaringkan Safee nyata memberi makna yang amat besar bagi dirinya selepas kerap memanaskan bangku simpanan dan menyebabkan kredibilitinya terus dipersoal.

Namun, kejayaan kelmarin membuktikan dia sudah mendapat kembali sentuhannya.

Dalam pada itu, Safee yang pernah menerima gaji lumayan ketika bersama pasukan Indonesia, Pelita Jaya pada 2011/12 mengakui, semasa perlawanan bermula, dia masih bergelut untuk mencari rentak.

“Namun, yang penting saya mendapat kembali keyakinan selepas menjaringkan gol. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih serta rakan sepasukan kerana banyak membantu saya dalam latihan dan perlawanan itu.

“Saya juga berharap perjalanan kerjaya saya bertambah baik dan meningkat selepas ini,” katanya.

ep2p-2