Ulasan: Jabra Solemate | Amanz

Adakah anda seorang yang sukakan peranti audio yang ringkas dan mudah dibawa kemana-mana? Jika bulan lepas kami telah mengulas peranti Sonic Gear Quatro 2, terbaru kami telah mengulas peranti Jabra Solemate, peranti audio berasaskan Bluetooth yang tahan lasak.

Rekabentuk

Seperti peranti Jabra yang pernah kami ulas sebelum ini, Jabra Solemate hadir dalam kotak bungkusan yang cantik. Menariknya peranti ini seperti namanya membawakan rekaan seakan-akan kasut, dengan tapak getah yang tebal dan mempunyai wayar audio dibawahnya. Satu pujian harus diberikan kepada rekaan cara penyimpanan wayarnya dibawah tapak getah tersebut. Tapak getah yang tebal ini berfungsi untuk memberikan cengkaman kepada peranti ini supaya tidak mudah terbalik atau tergelincir. 

Ia juga mempunyai cangkuk kain untuk memudahkan pengguna menyangkutkan peranti ini serta tahan hentakan, percikan air serta kalis debu sekaligus membuatkan ia tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan diluar rumah. Turut disertakan bersama peranti ini adalah sarung khusus untuknya yang membolehkan anda membawa peranti ini kemana-mana. 

Jabra Solemate -IMG_9708

Peranti ini boleh dihubungkan secara Bluetooth dan NFC atau menggunakan wayar yang disediakan. Ia boleh ditentukan pada suis kuasa yang terdapat pada bahagian tepi peranti ini. Pada bahagian atas peranti ini terdapat butang tahap bunyi dan juga butang untuk menjawab panggilan dan mengetahui status bateri.

Prestasi

Meskipun peranti ini kecil dan mudah dibawa kemana-mana, ia menyertakan bass driver dan juga subwoofer yang agak bagus. Kualiti bunyi mid-range juga agak baik, dan konsisten dengan peranti audio berspesifikasi tinggi dari Jabra. Walaupun kecil, peranti ini boleh mengeluarkan bunyi yang agak kuat, sesuai dengan penggunaanya di luar rumah. Pengguna boleh menggunakan Jabra Sound App untuk memainkan lagu dengan kualiti bunyi Dolby Digital. Peranti ini boleh beroperasi secara terus menerus sehingga 8 jam dan menerusi percubaan kami, waktu penggunaannya mencapai 6-7 jam. 

Jabra Solemate -IMG_9703

Selain dari fungsi umumnya sebagai pembesar suara, peranti ini juga boleh dijadikan pembesar suara telefoni. Sekiranya anda menghubungkannya dengan Bluetooth dan menerima panggilan, anda boleh terus bercakap melaluinya. Sekiranya anda mempunyai peranti pembesar suara telefoni yang tidak cantik di pejabat, saya yakin peranti ini agak cantik untuk menggantikannya. 

Pada harga RM 699, peranti audio yang tahan lasak ini boleh dikatakan berbaloi dengan harganya dari segi kualiti audio, rekaan dan ketahanannya, namun dari segi bateri, mungkin masih tampak sedikit tapi bagi saya, ia bukan satu kekurangan yang besar. Seperti peranti Jabra yang lain, harganya sedikit tinggi berbanding pesaingnya yang lain.

Pro

Rekaan tahan lasak.
Cara penyimpanan wayar audio yang kemas.
Kualiti bunyi yang bagus.
Boleh menjawab panggilan melaluinya.

Kontra

Sedikit mahal berbanding peranti yang lain.

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan pendengaran terhadap peranti audio adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

ep2p-5small