Tomok bakal timang anak kedua

Tomok bakal timang anak kedua

Bakal menimang cahaya mata kedua dalam masa terdekat, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mengakui tidak menerima tawaran persembahan di luar Kuala Lumpur bagi menemani isterinya, Rahayu Abbas.

Tomok yang ditemui BH Online semalam ketika berlangsungnya majlis pelancaran lagu runut bunyi filem Isyarat Cinta berjudul Tak Harus Memiliki di restoran Rebung, Bangsar, menjelaskan pada saat ini dia perlu bersedia apa saja kemungkinan dan sentiasa dekat dengan isteri.

Jantina bakal anak keduanya juga lelaki. Tak lama lagi anak sulung Tomok, Arrianshah Akid yang kini berusia tiga tahun akan mendapat adik.

“Saya khuatir isteri mungkin bersalin awal dari tarikh yang dijangka. Sebab itu saya hanya menerima tawaran kerja seni di sekitar ibu kota saja,” katanya.

Untuk menyambut kelahiran anak kedua ini, Tomok dan isteri tidak terlalu beriya-iya membuat persiapan dan lebih mengamalkan konsep berjimat cermat.

“Kami hanya membeli barangan yang penting saja. Lagipun masih boleh menggunakan barang milik Arrian yang masih elok untuk dipakai,” katanya.

Bercakap mengenai lagu Tak Harus Memiliki ciptaan sepenuhnya Fazz Alberto atau GG (Sixth Sense), ia bukan percubaan pertamanya menyanyikan lagu tema atau runut bunyi sesebuah filem. Sebelum ini Tomok sudah dua kali menyanyikan lagu tema filem.

“Ia promosi cukup baik untuk menarik minat penonton, tambahan pula jika ia turut hadir dengan klip video,” katanya.

ep2p-2