Tarif elektrik dan harga 25 jenis barangan turun..

Mulai 1 Mac hingga 30 Jun 2015, pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWh) berkuat kuasa berikutan pengumuman oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam, sekali gus selaras dengan penjimatan semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, ia telah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Kabinet yang mana pengurangan itu bakal dimanfaatkan oleh pengguna yang menggunakan melebihi 300 kWh sebulan.

Sehubungan itu, katanya, dengan pengurangan tersebut, ia juga bakal dinikmati oleh para pengguna domestik dalam lingkungan RM13.50 sehingga RM45 sebulan berdasarkan kadar penggunaan bulanan elektrik.

Maximus dalam kenyatannya itu ketika membuat pengumuman berhubung semakan pelepasan kos bahan api dan penjanaan (ICPT) serta kesannya terhadap tarif elektrik di Putrajaya, semalam.

Sumber melaporkan bahawa rekod purata kadar tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ketika ini adalah sebanyak 38.53 sen per kWh.

Sementara itu, penurunan 25 jenis barangan seperti  bahan mentah, bahan masakan dan peralatan kebersihan diri telah direkodkan kurang daripada satu peratus hingga 18 peratus bagi tempoh Julai 2014 hingga Januari tahun ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Hasan Malek, barangan yang disenaraikan itu termasuk ayam bersih standard yang dijual pada harga RM7.33 sekilogram Julai lepas, namun kini pengguna boleh menikmati dengan harga RM6.73 sekilogram.

Berikut merupakan antara barangan yang juga mencatat penurunan iaitu kepak ayam (18.25 peratus), limau mandarin (16.50 peratus), udang putih ternak (2.01 peratus), ubi kentang (6.17 peratus), beras cap rambutan Super Special Tempatan 5 peratus (0.12 peratus) dan bawang kecil merah yang diimport dari China iaitu 4.94 peratus.

Melihat situasi tersebut, Hasan berkata, harga barangan dan caj bagi perkhidmatan sentiasa dipantau oleh pihak kerajaan kerana sebarang peningkatan harga akan memberi impak langsung ke atas kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan memandang serius terhadap penurunan harga yang sewajarnya oleh industri ekoran daripada penurunan harga runcit petroleum,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat isu harga barang dan caj perkhidmatan berikutan penurunan harga bahan petroleum di Kuala Lumpur, semalam.

Hasan berkata, mesyuarat yang dihadiri oleh pengeluar, pemborong dan juga peniaga itu telah memberi kesan yang positif berikutan terdapat pihak yang sedia menurunkan harga barangan.

Jelasnya, beliau menjadikan Pasar Raya Mydin sebagai contoh yang mana mereka telah bersedia untuk menurunkan harga bagi 50 jenis barangan di semua premis milik syarikat itu di seluruh negara mulai Jumaat ini.

ep2p-2