Sekatan Ekonomi cara baru penjajah buli negara.. – Tun Mahathir

Menurut Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekatan terhadap ekonomi seharusnya dijadikan satu jenayah kerana ia merupakan satu bentuk penindasan daripada negara-negara kuasa besar ke atas negara lain.

Malah perkara tersebut boleh disifatkan sebagai sebuah peperangan kerana sesebuah negara boleh menderita tanpa bekalan makanan dan ubat-ubatan.

“Kesan sekatan adalah sama dengan perang, ini kerana sekatan boleh dikenakan oleh negara yang kuat kepada negara yang lemah.”

“Contohnya, mereka tidak boleh kenakan sekatan terhadap China, sebab itu kalau China buat apa-apa salah, itu tidak mengapa tetapi negara-negara kecil dan lemah dikenakan sekatan.”

“Ini adalah satu sikap pembulian yang sama macam perang, saya fikir sekatan boleh dianggap sebagai peperangan cara baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyam­paikan syarahan umum sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan Cuba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Duta Cuba ke Malaysia, Ruben Perez Valdes.

Tun Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana itu turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjadikan sekatan ekonomi sebagai satu jenayah dan menyalahi undang-undang.

“Menerusi Yayasan Kepimpinan Perdana, kami cuba menjadikan perang itu sebagai satu jenayah kerana tidak logik pembunuhan seorang manusia adalah satu jenayah tetapi pembunuhan berjuta-juta manusia merupakan satu kebanggaan.”

“Terdapat banyak cara lain yang boleh menyelesaikan konflik, mereka boleh gunakan meja rundingan atau saluran mahkamah antarabangsa, tidak semestinya melalui peperangan dan sekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir dalam kenyataannya berharap hubungan baik antara Malaysia dan Cuba yang terjalin selama 40 tahun akan dapat ditingkatkan khususnya dalam bidang perdagangan dan perkongsian teknologi.

“Kita juga harus kaji tentang apa boleh kita berniaga dengan negara-negara Amerika Selatan, sekarang kita mengimport jagung daripada mereka tetapi mereka juga ada produk-produk lain seperti baka lembu yang sangat baik, kita patut tambah lagi perdagangan kita,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, beliau mengulas berhubung kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, Tun Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah.

“Kalau orang biasa buat jenayah, dikenakan hukuman, ini tidak bermakna pemimpin besar boleh buat jenayah dan tidak dikenakan hukuman, kita semua adalah sama di bawah undang-undang, tidak kira Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau ahli-ahli perniagaan yang kaya raya.” katanya. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small