KUALA LUMPUR – Putrajaya bakal menjadi hab bola sepak di rantau Asia menjelang 2019 menerusi rancangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membina akademi baharu seluas 2.4 hektar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Alex Soosay berkata, akademi bola sepak baharu yang dikenali sebagai pusat kecemerlangan AFC akan dibina di Putrajaya dan bersebelahan dengan ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tambahnya, akademi itu akan menumpukan kepada program pembangunan belia dari peringkat akar umbi selain melahirkan bakat-bakat baharu bola sepak di benua terbesar ini.

“Ia akan menjadi pusat pembangunan bola sepak yang besar di mana kita akan mempunyai padang bola sepak, padang mini, mini hotel bagi menjalankan program-program dari peringkat akar umbi.

“Peluang pekerjaan akan disediakan dalam bidang bimbingan, latihan, pembangunan, pengadilan dan juga kakitangan teknikal,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Toyota Innova kepada AFC di AFC House, Bukit Jalil semalam.

AFC ditubuhkan pada 8 Mei 1954 di Manila, Filipina dan kini mempunyai 46 ahli gabungan. Badan induk bola sepak Asia itu mula berpindah ke ibu pejabat baharu di Bukit Jalil yang dinamakan AFC House pada 2000.