PKR akan tambah kuat walaupun tiada Anwar.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak dakwaan beberapa pemerhati politik yang mengatakan perjuangan parti berkenaan akan mula terjejas ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Pengerusi Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan Dewan Undang Negeri (DUN) PKR, Datuk Johari Abdul berkata, walaupun parti berkenaan telah kehilangan seorang ‘nahkoda’ yang selama ini berjuang habis-habisan dalam membela nasib rakyat, parti berkenaan tetap optimis untuk meneruskan perjuang tersebut meskipun sedikit ‘tempang’ tanpa kehadiran Anwar.

Johari berkata, kepimpinan PKR sudah bersedia dengan keputusan tersebut dan sehingga kini parti berkenaan lansung tidak berasa terjejas walaupun Anwar sudah di bawa ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman.

“Struktur kita jelas. Kita ada Presiden dan majlis pimpinan. Saya rasa dengan memenjarakan Datuk Seri Anwar tidak mengubah struktur yang ada.

“Presiden masih ada. Naib Presiden masih ada. Timbalan ada. Jadi, saya rasa tak jadi masalah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Johari turut menegaskan pihaknya tidak merancang untuk mengantikan tempat Anwar sebagai Ketua Umum PKR walupun terdapat beberapa khabar angin yang mengatakan Menteri Besar Selangor, Mohammad Azmin Ali berkemungkinan mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut beliau, sekiranya rakan sekutu di dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan PAS ingin melantik Mohammad Azmin sebagai Ketua Pembangkang, pihak tidak mempunyai sebarang masalah kerana Timbalan Presiden PKR tersebut dilihat mampu mengantikan tempat Anwar untuk menerajui pakatan.

“Datuk Seri Anwar adalah ketua umum. Siapa nak ganti ketua umum? Tak payah ganti ketua umum pun tak apa. Kita ada Presiden, Azmin Timbalan Presiden, jadi, tak ada masalah.

“Memang dia (Azmin)…sebagai Timbalan Presiden memang selama ini dia memainkan peranan yang bagus. Tak ada masalah,” tambahnya lagi. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor

ep2p-5small