PENGUNDI PERMATANG PAUH TIDAK YAKIN DENGAN PAKATAN

Satu Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh bakal diadakan ekoran kerusi Parlimen Permatang Pauh yang terpaksa dikosongkan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dilucutkan jawatan sebagai ahli Parlimen selepas beliau didapati bersalah dalam kes liwatnya dan dihukum penjara 5 tahun.

Bagi pengundi di Permatang Pauh, mereka berkata agak sukar untuk PKR mempertahankan kerusi Parlimen ini kerana pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dapat dilihat Barisan Nasional (BN) berjaya mengurangkan majoriti yang dimiliki Anwar.

Tambah mereka, ketidak yakinan mereka terhadap PKR makin bertambah apabila Ketua PKR sendiri mempunyai rekod peribadi yang buruk selain hubungan PR yang kini dilihat semakin beratakan.

Seorang pengundi warga Cina di Permatang Pauh yang mahu dikenali sebagai Lee, 58, berkata dari dulu hingga sekarang tiada perubahan yang dibawa PKR. Mereka dapat mengekalkan kerusi ini pun kerana atas sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di Pulau Pinang.

Katanya lagi, PR ini hanya pandai mencungkil kesalahan pesaing mereka untuk membuktikan mereka lebih bagus. Hakikatnya mereka lebih teruk.

“PR sebenarnya bagus dalam perkara mencungkil kesalahan dan menonjolkan kesilapan pesaing mereka. Kekurangan BN ialah ‘tak pandai main wayang’,” kata Lee.

Penduduk Permatang Pasir Daud Salleh, 61, melalui banyak pilihan raya di Permatang Pauh dan bakal menyaksikan PRK ketiga disebabkan Anwar.

Daud berkata sukar untuk melihat PKR menang pada PRK kali ini. Berdasarkan keadaan semasa dilihat Umno lebih layak untuk menang kerusi ini pada PRK nanti. Jika PKR menang sekalipun mereka akan menang dengan majoriti yang kurang.

“Saya rasa kali ini peratus keluar mengundi rendah yang mana bukan luar biasa dalam PRK. Saya rasa pengundi atas pagar juga akan menjadi faktor menentukan berapa banyak undi PKR dan Umno boleh dapat. Kita tunggu dan lihat sajalah,” katanya sambil mengharapkan Ahli Parlimen nanti membawa kepada pembangunan di kawasan ini.

Fadzli Yusof, 44, yang menguruskan sebuah gerai mee rebus di Permatang Pasir, berkata BN lebih mempunyai peluang memenangi kerusi ini..

“Mereka mempunyai pemimpin baru di Permatang Pauh, orang muda. Mungkin dia boleh melakukan sesuatu untuk membantu prestasi Umno yang lebih baik dalam PRK ini,” katanya, merujuk kepada Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Fadzli berkata kawasan Permatang Pasir ketinggalan daripada pembangunan yang pesat kerana ia merupakan kawasan pembangkang. Fadzli juga mengharapkan pembangunan di kawasan ini selari dengan harus pembangunan kini.

Menurut daftar pemilih Parlimen Permatang Pauh sehingga suku tahun ke-3 direkodkan seramai 72,513. Dari jumlah itu, direkodkan seramai 50,541 pengundi dari kaum Melayu, manakala 17,849 kaum Cina dan 4,123 kaum India.-Alip Danial/Utaranews.com-

ep2p-2