PENGAWAL MATI DITETAK SAMSENG DI PERAI

Bukit Mertajam: Seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berbual dengan rakannya di bawah jejantas dekat Kampung Manis, Perai, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, mangsa, Jahangir OK Shamsuddin, 21, dikatakan berbual dengan tiga rakannya sebelum didatangi beberapa lelaki yang turun dari kereta Honda Civic berwarna perak.

Empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang menyerang dan menetak mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa rebah, manakala tiga rakannya sempat melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mazlan Kesah berkata, mangsa maut akibat cedera di kepala dan anggota badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

“Mangsa dipercayai mengenali suspek, tetapi siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Polis mengesan rakan mangsa yang sempat menyelamatkan diri bagi membantu siasatan,” katanya selepas pelancaran Op Selamat 6 oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi di Plaza Tol Juru, dekat sini, semalam.

ep2p-5small