PASMA BERDOLAK-DALIH TERLIBAT GERAKAN GULINGKAN HADI AWANG

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menyifatkan tuduhan yang dilontarkan kepada pertubuhan berkenaan dengan menjadikan PasMa sebagai ‘kambing hitam’ dan menuduh mereka bertanggungjawab dalam usaha menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah satu fitnah.

Mengulas mengenai tuduhan yang dilempankan oleh Ketua Pemuda PAS, Noorzazilafadli Ibrahim yang menuduh pihaknya menjadi dalang untuk mengulingkan Abdul Hadi sebagai Presiden, Phahrolrazi melihat perkara tersebut adalah satu fitnah yang berulang kali dilakukan oleh ahli PAS bagi menyingkirkan beliau di dalam parti berkenaan.

Phahrolrazi berkata, PAS boleh menjalankan siasatan terhadap tuduhan tersebut dan PasMa sekali lagi menegaskan pihaknya tidak ada niat atau cadangan untuk menjatuh Abdul Hadi sepertimana di dakwa beberapa pihak sebelum ini.

“Tuduhan itu bukan baharu, sudah berulang kali dikaitkan Pasma dengan gerakan mahu jatuhkan Hadi. Sebelum ini, Pasma sudah perjelaskan tidak pernah terlibat dengan mana-mana gerakan seperti didakwa.

“Pimpinan pusat boleh lakukan siasatan dalaman berikutan ada aduan. Namun terpulang pada mereka. Jika tidak ambil tindakan (siasat), wajar ambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa wujud konspirasi atas cubaan memecah-belahkan perpaduan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PasMa amat menghormati Abdul Hadi sebagai seorang Presiden PAS dan oleh sebab itu, PasMa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh parti berkenaan yang mengarahkan ahli-ahlinya tidak mengikut program yang diadakan oleh PasMa.

Menurut beliau, setelah arahan tersebut dikeluarkan, PasMa telah mengambil keputusan untuk tidak menjemput ahli PAS untuk menghadiri program-program yang diadakan dibawah badan terebut dan ia dilakukan sebagai satu tanda ‘peghormatan’ terhadap arahan Presiden PAS sebelum ini.

“Sebelum arahan dikeluarkan tidak membenarkan ahli Pas sertai Pasma, memang ada jemput mereka menjayakan program Pasma, selepas itu tidak lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menegaskan kedudukannya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah tidak akan menggangu tugasnya sebagai seorang Presiden PasMa kerana berupaya memegang kedua-dua jawatan dalam satu masa.

Tegasnya lagi, sekiranya ada pihak yang ingin beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua PAS, ia boleh dilakukan dalam pemilihan PAS pada 20 Mac ini dan jika ahli PAS masih mahu beliau memegang jawatan tersebut, beliau akan terus menjalnkan tugasnya sepertimana dituntut oleh ahli-ahli di sana.

“Ahli atau perwakilan di kawasan yang pilih saya sebagai Yang Dipertua, mereka bagi sokongan dan saya dipilih. Jadi kena tunggu pemilihan ini,” ujar Phahrolrazi lagi. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor

ep2p-5small