PAKCIK TUA DICEKUP LEKA LEPAS NAFSU DALAM SEMAK

KUANTAN – Rutin harian bagi 65 penagih dadah yang berkunjung ke ‘port khayal’ di sebuah rumah usang hampir runtuh kawasan semak Kampung Tanjung Lumpur di sini untuk melepas gian sejak dua bulan lalu berakhir apabila lokasi itu diserbu polis, awal pagi kelmarin.

Suasana kawasan itu yang sebelum ini ‘selamat’ bagi kaki khayal terbabit bertukar kelam kabut apabila ada di antara mereka bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran polis malah ada yang bertindak nekad menggadai nyawa dengan terjun ke dalam sungai berhampiran.

Malah ada yang berlagak selamba memberikan pelbagai alasan termasuk tersalah jalan selepas ditahan sejurus masuk ke kawasan tersebut.

Bagaimanapun seorang demi seorang penagih yang masuk ke kawasan itu paling awal sekitar jam 7 pagi berjaya ditahan.

Hasil operasi Ops Sarang yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kesemua penagih tersebut termasuk seorang datuk kepada tiga cucu dan seorang bapa yang membawa bersama anaknya berusia dua tahun ditahan.

Hasil operasi yang bermula seawal jam 4 pagi hingga 4.30 petang itu, polis turut menyita 30 buah motosikal dan merampas sejumlah dadah daripada penagih tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, susulan maklumat, 45 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan termasuk anggota lain-lain bahagian bersama dua pegawai masuk ke beberapa ‘port’ di kawasan tersebut untuk melakukan intipan seawal jam 4 pagi.

Menurutnya, Operasi Ops Sarang yang dilakukan itu bertujuan membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sekitar kawasan Tanjung Lumpur, Peramu, Kempadang, Sungai Soi dan sekitarnya.

ep2p-5small