Najib yakin Adenan mampu pertahankan BN di Sarawak..

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem diberi kepercayaan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menyelesaikan isu dalaman Barisan Nasional (BN) negeri tersebut.

Perkara itu membabitkan isu penerimaan dua parti baharu iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Bersatu Sarawak (UPP) sebagai anggota BN.

Perdana Menteri berkata, Adenan diyakini berupaya menangani isu dalaman berkenaan atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN Sarawak dan juga sebagai senior dalam kancah politik negeri ini.

“Kepemimpinan BN Pusat yakin dengan keupayaan BN Sarawak untuk menyelesaikan segala isu dalaman dan masalah yang berlaku. Kita yakin mereka mempunyai formula untuk memperkukuhkan kedudukan semua parti komponen di sini.”

“Ini sejajar dengan penumpuan kita untuk memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada pemberita, di Sri Aman, Sarawak, semalam.

Terdahulu, Najib merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Sri Aman bernilai kira-kira RM150 juta yang dilengkapi 108 katil, selain menyediakan pelbagai khidmat pakar minor selepas siap sepenuhnya menjelang 2018.

Hospital berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan kemudahan kesihatan bagi penduduk setempat, khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar bahagian ini.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam perkembangan yang lain, Najib yang juga Pengerusi BN Pusat menyifatkan tuntutannya terhadap HarakahDaily supaya menarik balik artikel berunsur fitnah terhadapnya dalam tempoh 48 jam baru-baru ini sebagai satu tindakan yang wajar.

“Ia (artikel) tidak benar dan lebih berunsur fitnah. Mereka (HarakahDaily) tiada bukti dan saya berhak untuk mempertahankan nama saya, begitu juga keluarga saya.”

“Peguam saya masih menunggu maklum balas berhubung perkara itu sebelum merangka tindakan selanjutnya,” katanya.

Harakah Daily seperti yang dilaporkan pada 19 Februari lalu, menyiarkan artikel berunsur fitnah yang mengaitkan pembabitan Najib dalam penyalahgunaan dana 1MDB bagi menampung kos penerbitan sebuah filem antarabangsa.

Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyatakan komitmennya untuk terus meningkatkan taraf hidup, khususnya masyarakat luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih sempurna, termasuk membabitkan aspek kesihatan.

“Lebih banyak hospital dan klinik akan kita bina, terutama di kawasan luar bandar bagi menampung keperluan rakyat. Biarpun usaha ini membabitkan perbelanjaan tinggi, namun kadar bayaran dikenakan kepada rakyat yang mendapat pemeriksaan kesihatan dan rawatan adalah yang terendah di dunia.”

“Tiada sistem kesihatan di mana-mana negara di dunia mampu menyediakan kemudahan sebegini kepada rakyatnya. Di Malaysia, kita melaksanakannya atas dasar sentiasa mendahulukan keperluan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata subsidi kesihatan di negara ini mencecah 98 peratus di mana sebahagian besar kos atau perbelanjaan perubatan ditanggung oleh kerajaan.

“Merujuk Indeks Global 2014 – International Living, Malaysia antara tiga negara terbaik di dunia dalam konteks sistem pengurusan kesihatan untuk rakyatnya, terutama dari segi penyediaan khidmat, kemudahan dan kos berkaitan.”

“Di sebalik pengiktirafan itu, kerajaan sedar masih ada banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki… masih ada banyak kawasan, khususnya di luar bandar yang memerlukan hospital dan klinik. Inilah cabaran kita dalam usaha menyediakan suasana kehidupan lebih baik untuk segenap lapisan rakyat,” katanya. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-2