MSN sedia selesai masalah Faizal, Fitri

GAMBARAN sebenar masalah dialami dua tonggak skuad hoki negara, Faizal Saari, 24, dan Mohd. Fitri Saari, 22, yang ‘hilang’ dari kem latihan ketika ini bakal diketahui tidak lama lagi.

Ini kerana Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mendedahkan, pihaknya sudah membuat temu janji dengan pasangan adik- beradik ‘emas’ negara itu untuk duduk ‘semeja’ berbincang pada minggu depan.

Pertemuan tersebut dijangka bagi merungkai apa permasalahan dialami dua pemain tersebut, ter­utamanya Faizal selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Ahmad Shapawi menyiasat punca sebenar.

Ahmad Shapawi mengakui, beliau berjaya menghubungi Faizal dan pada masa sama gembira apabila ‘mesin gol’ skuad hoki negara itu sanggup mengetepikan masalah peribadi setelah berjanji untuk kembali menyertai kem latihan Rabu ini.

“Faizal dan Fitri berada di kampung ketika ini dan telah berjanji untuk bertemu dengan saya selepas Tahun Baru Cina, mungkin selepas dia pulang pada 24 Februari ini.

“Saya harap pertemuan antara mereka dan saya termasuk MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) akan dapat gambaran sebenar masalah ketika ini dan menjelaskan segala isu yang timbul.

“Apa yang saya paling gembira ialah Faizal sudah berjanji dengan pengurusan pasukan untuk kembali sertai latihan pada Rabu ini.

“Skuad negara itu penting dan saya hargai semangat dipamerkan Faizal yang sanggup ketepikan sedikit masalah peri­badinya untuk pulang membantu pasukan negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Ahmad Shapawi menegaskan, pihaknya tidak memikirkan tindakan yang bakal dikenakan ke atas Faizal dan Fitri, sebaliknya mahu berbincang terlebih dahulu.

“Bagi saya, mesyuarat bersama keluarga (Faizal dan Fitri pulang ke kampung menyelesaikan masalah peribadi) itu adalah tindakan terbaik buat masa ini. Soal tindakan itu kemudian, kami nak bincang dengan mereka dahulu,” jelasnya.

Sebagai rekod, penyerang dan pemain tengah itu gagal menghadirkan diri ke kem latihan selepas membantu The Speedy Tigers melayakkan diri ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, Jun depan dengan menjuarai pusingan kedua dengan penuh bergaya di Singapura bulan lalu.

ep2p-2