Mentor Legend 2015: Bahang kemuncak Mentor Legend makin terasa

Mentor Legend 2015: Bahang kemuncak Mentor Legend makin terasa

Bahang kemuncak Mentor Legend semakin terasa dan keputusan juara program realiti itu bakal diketahui pada 22 Februari ini.

Ahad lalu, pusingan separuh akhir pertama Mentor Legend menyaksikan protoge Dayang Nurfaizah, Azmil sekali lagi diangkat pemenang bagi konsert minggu itu.

Azmil, 22, memukau penonton dengan persembahan hebat menerusi lagu medley Pupus dan Sephia.

Walaupun markah keseluruhan peserta tidak diumumkan pada minggu ini, Azmil memperoleh markah 100 peratus daripada penonton manakala 19 markah daripada juri awam.

Kemenangan kali ketiga anak kelahiran Tawau, Sabah itu tidak dijangkakan lebih-lebih lagi meraih markah penuh daripada penonton.

“Saya cukup gembira kerana menang di peringkat ini bukan mudah. Kini, saya gementar memikirkan cara untuk memberi persembahan lebih baik pada peringkat separuh akhir kedua, Ahad ini,” katanya.

Biarpun gembira dengan prestasi anak didiknya, Dayang mengakui Azmil masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan.

“Kalau dari segi nyanyian masih banyak yang Azmil perlu perbaiki. Saya memilih Azmil kerana dia memiliki nada suara yang unik,” katanya.

Mengenai pemilihan lagu pula, Dayang berkata, ia berdasarkan kesesuaian vokal protege itu.

“Saya mempunyai senarai lagu yang dirasakan sesuai dengan Azmil namun perlu tanya pendapat dia dulu.

“Azmil ada mencadangkan beberapa lagu, tetapi ada antaranya saya tidak kenal selain kurang sesuai dengan dia,” katanya.

Mengenai persembahan akan datang, Dayang mahu Azmil mempertingkatkan prestasinya.

“Sekarang bukan masa untuk memikirkan mengenai kemena-ngan, tetapi fokus dalam menambah baik persembahan Azmil.

“Biarpun tiga kali menang, saya tetap gementar memikirkan per-sembahan Ahad ini,” katanya.

Pusingan separuh akhir pertama menyaksikan persembahan solo keenam-enam protoge yang masing-masing menampilkan dua lagu secara medley.

Pada persembahan itu, Sarah mendendangkan lagu I’m telling You I’m Not Going, I Have Nothing dan Asmaradana.

Nadeera pula menyanyikan lagu Sempurna dan Bring Me to Life manakala Fahmie menyampaikan I Surrender dan Tiada Lagi.

Tuah dan Aina tampil kelainan

Seperti dijanjikan, dua protege tersingkir yang diserap semula iaitu Tuah dan Aina tampil memberi persembahan berlainan.

Tuah muncul di pentas dengan lagu popular Mojo iaitu Romancinta dan lagu Rock You Like A Hur-ricane daripada Scorpions.

Aina pula memilih persembahan bertemakan konsert mini dan menghiburkan penonton dengan lagu Berhenti Berharap dan Fighter.

Acara pada malam itu turut menampilkan Datuk Ramli MS sebagai juri undangan.

Pusingan Separuh Akhir kedua pada jam 9 malam, Ahad ini menyaksikan tiga protoge berentap di pentas final Mentor Legend yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, 22 Februari ini.
~ Metro

ep2p-2