LELAKI SAMSENG MENGAMUK LEMBIK DIBELASAH PENDUDUK

Jertih: Seorang lelaki dibelasah orang ramai selepas cuba merempuh jirannya dengan kenderaan dipandu selain mengamuk menggunakan senjata kelewang di Taman Sri Intan, Kuala Besut di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, suspek berusia 30-an itu memandu sebuah kenderaan model Naza Citra sebelum cuba merempuh seorang pemuda berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa yang ketakutan berjaya melarikan diri ke rumah sepupunya sebelum menyorok bagi menyelamatkan nyawanya.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengeluarkan kelewang sambil mengugut akan menetak mangsa.

“Pada masa sama, abang mangsa berusia 30-an yang dimaklumkan berhubung kejadian itu tampil membantu mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun dilihat sedang mengamuk sambil melibas kelewang.
Khaled berkata, abang mangsa dengan bantuan penduduk kampung terbabit berjaya menangkap suspek selepas berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Abang mangsa memaklumkan kejadian seumpama itu kerap berlaku dan suspek sebelum ini pernah mengugut mahu menetak ahli keluarganya,” katanya.

Kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham yang berlaku antara mangsa dan suspek sebelum ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

ep2p-5small