Lakonan Watak Mencabar Main Emosi

Advertisement

Watak sebagai Murni lakonannya dalam filem genre seram nasi Tangas dibawah arahan Hashim Rejab meninggalkan impak tersendiri kepada penonton.

Malah, ramai pengarah drama dan filem mula membuka mata dengan bakat lakonan yang dimiliki pelakon, Adibah Yunus di persada hiburan tanah air. Dalam filem itu, Adibah bergandingan dengan Azwan Kombos selaku teraju utamanya.

Secara peribadi, pemilik nama penuh, Siti Adibah Yunus mengakui dia sangat bersyukur kerana lakonannya dalam filem yang memaparkan kisah ilmu hitam itu diterima penonton.

“Ia julung kali saya diberi kepercayaan melakonkan watak utama dalam filem setakat ini. Watak Murni adalah isteri yang lemah lembut, tetapi sanggup mengenakan sihir kepada suaminya supaya tidak jatuh pada wanita lain.“Terus terang, watak itu sangat berat dan mencabar kerana saya banyak bermain dengan emosi dalaman. Saya berusaha memberikan lakonan terbaik mengikut kemampuan diri,” katanya.

Menurut Adibah, selepas filem Nasi Tangas dia tidak pernah putus menerima tawaran berlakon sehingga kini.

“Setakat ini, agenda seni saya padat dengan pelbagai projek drama dan filem. Malah, masa saya juga banyak dihabiskan di lokasi penggambaran ketika ini. “Saya juga anggap setiap watak dilakonkan termasuk watak pembantu dalam drama mahupun filem sebagai proses pembelajaran dalam bidang lakonan. “Apa yang penting, saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon sebaik mungkin,” katanya.

Antara filem terbaru lakonannya ialah Seram Badi dibawah arahan Eyra Rahman. Dalam lakonan tersebut, Adibah digandingkan bersama Azwan Kombos. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam tahun ini. Juga tidak ketinggalan filem Banglo Berkunci.

Advertisement

Bukan sahaja filem, Adibah turut diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai teraju utama dalam drama yang berjudul Dendam Semalam dibawah arahan Azaromi Ghozali bergandingan dengan Iqram Dinzly unutk slot Azalea di TV3.

Drama bersiri sebanyak 20 episod yang baru saja selesai penggambarannya ini turut disemarakkan lagi dengan barisan pelakon seperti Azwan Kombos, Fadlan Hazim dan Nina Iskandar. Drama bersiri ini akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4 petang bermula 16 Februari nanti.

Kerja Keras Bina Nama

Jika pelakon lain sudah popular dengan hanya berlakon dalam satu filem, Adibah pula terpaksa menunggu hampir empat tahun untuk memegang watak utama dalam filem dan drama.  Jika nak diikutkan, Adibah bukan nama baru kerana dia sudah hampir empat tahun terbabit bidang lakonan.

“Mungkin orang tidak perasan kehadiran saya kerana banyak watak dilakonkan sekadar pembantu atau watak kecil. “Berkat kesabaran dan kerja keras, akhirnya saya diberi kepercayaan produksi Metrowealth untuk memegang watak utama dalam filem dan drama,” katanya.

Apapun, Adibah mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam memantapkan prestasi lakonan sedia ada.

“Saya juga banyak menimba ilmu lakonan dengan pengarah dan pelakon yang lebih senior di lokasi penggambaran. Saya juga percaya kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras,” katanya.

19 total views, 19 views today

ep2p-5small