Lagi Nahas Pesawat di Taiwan

TAIWAN – Kira-kira 15 penumpang dilaporkan terbunuh dalam nahas pesawat TransAsia Airways yang terhempas ke dalam sungai berhampiran Taipei, pagi tadi.

Memetik laporan dari portal 9news, setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan lebih dari 30 mangsa nahas masih terperangkap di dalam badan pesawat itu.

Pesawat yang membawa 58 penumpang dan anak kapal itu dikatakan terhempas ke dalam sungai tiga minit selepas berlepas dari lapangan terbang Songshan, lapor aplikasi FlightRadar24.

Laporan AFP yang memetik stesen televisyen tempatan turut melaporkan, 17 dikatakan selamat dalam insiden itu.

Setakat ini pihak berkuasa masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat di sungai tersebut.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu dalam penerbangan domestik ke Pulau Kinmen sebelum ia melanggar jambatan dan terjunam ke dalam sungai.

Insiden berlaku kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, beberapa minit selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang menuju ke destinasi.

Menurut laporan portal itu lagi, TransAsia Airways dikatakan melakar sejarah hitam sekali lagi pada tahun ini, selepas pesawat model yang sama turut dilaporkan terhempas pada Julai tahun lepas.

Dalam nahas tahun lalu, sekurang-kurangnya 51 terkorban, manakala tujuh lagi mengalami kecederaan teruk selepas pesawat TranAsia gagal membuat pendaratan kecemasan dalam cubaan kali kedua di lapangan terbang Magong berikutan cuaca buruk. – SH

ep2p-5small