KRU beri kebebasan kepada Caliph Buskers

Caliph BuskersKUMPULAN penyanyi jalanan yang berjaya mengegarkan pentas Anugerah Juara Lagu ke-29, Caliph Buskers akhirnya menandatangani kontrak dengan KRU Music, awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Rizal Sahimy berkata, pihaknya lebih bertujuan untuk membimbing kumpulan untuk termasuk mengasah bakat yang mereka miliki.

“Mereka memang sangat berbakat dan dihargai rakyat Malaysia. Jadi, kami mahu membantu mengasah bakat mereka supaya mereka menggunakan bakat itu dengan betul.

“Kalau minat, cinta mereka itu mendalam terhadap muzik itu, mereka akan pergi jauh. Selagi mereka minat, selagi itu kami akan bantu mereka untuk pergi lebih jauh,” katanya kepada Sinar Online.

Meskipun sudah berada di bawah naungan Kru Music, Caliph Buskers tetap bebas membuat persembahan basking seperti biasa.

Caliph Buskers kalau mahu buat persembahan di majlis perkahwinan, basking, masih boleh. Kami tak halang.

“Buat masa ini kami ikat mereka kontrak selama setahun,” katanya.

Rizal turut memberitahu Caliph Buskers bakal merakamkan single pertama mereka dengan lagu baru yang diciptakan Edry, dalam masa terdekat.

“Perancangan itu sudah ada, kita akan rakamkan single baru, lagu baru untuk mereka. Lagu itu hasil ciptaan Edry sendiri.

“Mungkin dalam masa dua atau tiga bulan lagi akan keluar. Buat masa sekarang, kita sudah keluarkan Romancinta yang dinyanyikan oleh Caliph Buskers sendiri,” katanya.