Kes Dadah: Vokalis Terra Rossa Didenda RM7,000

Kes Dadah: Vokalis Terra Rossa Didenda RM7,000

Vokalis baharu kumpulan Terra Rossa hari ini didenda RM7,000 atau 18 bulan penjara setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dadah.

Majistret Zulyana Zollkapli turut memerintahkan Khairul Hizam Kaha, 39, berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Vokalis yang lebih dikenali sebagai Jijam itu didakwa memiliki dadah Methamphetamine seberat 0.41 gram di kawasan Axis Astrium, Taman Cempaka, Ampang di sini pada 4.30 petang, 10 Disember tahun lepas.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didapati menggunakan methamphetamine pada 7.15 malam, 29 Mei tahun lepas dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada 6.30 petang, 10 Dis tahun lepas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada 6.30 petang.

Mahkamah turut memerintahkan Khairul Hizam membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan memiliki dadah manakala denda RM2,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Khairul Hizam, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia hanya berniaga sendiri dan tiada pendapatan tetap selain perlu menyara tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahannya.

ep2p-5small