Keputusan kes Anwar tak dipengaruhi oleh unsur politik.

Peguam Kanan Pasukan Pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipengaruhi campur tangan pihak tertentu adalah satu fitnah yang tidak benar.

Muhammad Shafee berkata, apa yang telah diputuskan oleh mahkamah semalam adalah satu keputusan berdasarkan salah laku Anwar yang jelas bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008 yang lalu.

Beliau berkata, keputusan mahkamah dilakukan berteraskan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan kepada mana-mana individu melakukan kesalahan tidak mengira status atau pengaruhi yang dimiliki persalah tersebut.

“Semua ini adalah cerita tentang semua manusia tanpa mengira kuasa, mereka adalah sama rata di sisi undang-undang”.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang merupakan pembantu peribadi Anwar, yang mendapat perhatian dalam negara dan antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukan olehnya.

“Sepertimana kesemua mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk melihat aduannya disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan ketika membacakan kenyataan pihak pendakwaan dalam sidang media di luar Mahkamah Persekutuan semalam.

Menurut Muhammad Shafee, terdapat beberapa laporan yang sengaja dibangkitkan oleh pihak pembangkang terhadap keputusan Anwar memandangkan sebelum keputusan di umumkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sangat yakin beliau akan dibebaskan dari pertuduhan tersebut.

Tegas beliau lagi, semua pihak perlu menerima keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah dengan hati yang terbuka kerana walaupun Anwar sudah dijatuhkan hukuman penjara, nasib yang telah menimpa Mohd Saiful tetap tidak akan berubah dan ia telah mempengaruhi kehidupan beliau sebagai seorang mangsa liwat.

“Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah di Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak kepada Anwar Ibrahim, dan mendakwa sistem kehakiman kita telah di kompromi apabila mahkamah memberikan keputusan yang sebaliknya.

“ia tidak memberikan saya kegembiraan – kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya.

“Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa berhadapan dengan sesi pemeriksaan balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan peguam bela Anwar boleh menyoal balas beliau,” katanya lagi.

Semantara itu, belaiu menggesa semua pihak dapat berfikir secara lebih mendalam terhadap kes yang dikenakan terhadap Anwar kerana Anwar sentiasa mengelak untuk membuat sebarang pemeriksaan seperti pemberian sampel DNA dirinya yang mampu mengubah keputusan mahkamah namum beliau enggan berbuat demikian.

Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwaan pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan, berkata manakala Anwar enggan berdepan dengan pemeriksaan balas dan memilih hanya memberi secebis kenyataan dari kandang tertuduh.

Beliau menganggap tugas tersebut sebagai suatu yang sangat sukar “kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman”.

“Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara untuk  mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar di dalam kes ini.

“Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau memilih untuk tidak berbuat apa-apa,” katanya lagi.

Justeru itu, beliau menggesa pihak berkenaan menghentikan sebarang kenyataan atau perlakuan menghina keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah terhadap Anwar kerana Ketua Pembangkang itu sememangnya bersalah melakukan liwat dan ia dapat dilihat dengan jelas apabila beliau enggan membuat sumpah laknat sepertimana dilakukan oleh Mohd Saiful.

“Pada hari ini, jawapan daripada hakim-hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat, serta keterangan yang telah lama diuji dan dibentangkan,” katanya.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuk keputusan yang memihak kepada Anwar. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah Anwar dan penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan,” tambahnya lagi. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor

ep2p-2