Ini masa terbaik UMNO rampas semula kerusi Permatang Pauh.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara yang dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sekaligus menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum ini.

Dengan keputusan itu, satu pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh bakal diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi  Parlimen Permatang Pauh yang sebelum ini di sandang oleh pesalah kes liwat II ini.

Ketiadaan Anwar pasti memeningkan kepala pemimpin Pakatan Rakyat (PR).Mereka perlu menamakan calon yang sesuai untuk mempertahankan kerusi tersebut jika SPR mengumumkan pilihanraya kecil akan diadakan.

Untuk menamakan semula isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon, pasti akan memburukkan lagi imej PKR kerana sebelum ini Azizah pernah menyandang kerusi tersebut selama 3 penggal tapi akhirnya terpaksa meletak jawatan.

PRK Permatang Pauh diadakan selepas Azizah mengumumkan berundur demi memberi laluan kepada suaminya untuk menyandang kerusi tersebut.

Ketika PRK tersebut, Anwar membuktikan beliau masih mempunyai aura walaupun baru dibebaskan dari penjara. Anwar berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar dan calon bebas, Hanafi Hamat dengan jumlah majoriti dimenangi 15,671 undi ketika itu.

Anwar yang mendapat undian sebanyak 31,195 berjaya memenangi kerusi tersebut berbanding calon BN iaitu Arif Shah yang hanya berjaya mendapat 15,524 undi dan calon bebas, Hanafi mendapat92 undi. Jumlah daftar pemilih Permatang Pauh sebelum PRK Permatang Pauh pada tahun 2008 dilaporkan sebanyak 58,459 orang. Bagaimanapun peratus yang keluar mengundi hanya 80.86% dari jumlah daftar pemilih.

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Strategi BN meletakkan Dr Mazlan Ismail berjaya membuat undian Anwar sedikit goyah. Pengundi Anwar dapat dilihat semakin berkurangan apabila jumlah majoriti yang dimenanginya sebelum ini berjaya dikurangkan hampir 4,000 undian.

Anwar mendapat undian sebanyak 37,090 berbanding Dr mazlan (BN) 25,369 dan calon bebas Dr  Abdullah Zawawi 201 sekaligus Anwar berjaya memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti sebanyak 11,721.

Rekod daftar pemilih Permatang Pauh sebelum PRU13 direkodkan sebanyak 71,699. Peratus yang mengeluar mengundi pada PRU13 menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 88.52% berbanding pilihan raya sebelum ini iaitu 80.86%.

Bagi PRK yang bakal berlangsung ini, rekod daftar pemilih Parlimen Permatang Pauh sehingga suku tahun ke-3 direkodkan seramai 72,513. Dari jumlah itu, direkodkan seramai 50,541 pengundi terdiri dari kaum Melayu, manakala 17,849 kaum Cina dan 4,123 dari kaum India.

PRK Permatang Pauh kali ini pastinya menjadi tumpuan negara apabila umum mengetahui Pakatan Rakyat hampir berpecah disebabkan kemelut dalaman. Dengan ketiadaan Anwar dan juga ‘perang dingin’ antara DAP dan PAS, mampukah Pakatan mempertahankan kerusi Permatang Pauh? Ramai melihat, ini merupakan masa terbaik untuk Umno merampas kembali kerusi tersebut.

ep2p-2