Hanya Hudud mampu selamatkan Anwar – Hadi Awang

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat akhir-akhir ini sebagai penyumbang kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR) susulan pendiriannya yang kadangkala bertentangan dengan keputusan bersama gabungan.

Hadi juga dilihat tidak sehaluan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak isu perubahan pucuk pimpinan di Selangor yang bermula dengan ‘Langkah Kajang’.

Hubungan PR dilihat semakin tegang apabila Hadi yang didakwa sering tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR untuk menyelesaikan kemelut Menteri Besar Selangor atas alasan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Walaupun Hadi terus dihentam kerana dikatakan punca keretakan hubungan PR ini, beliau turut melahirkan rasa simpati dan merakamkan ucapan takziah terhadap Anwar yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun. Hadi turut menyifatkan keputusan mahkamah itu merupakan “satu lagi sejarah hitam negara”.

Hadi yang mengulas mengenai kes Anwar ini berkata, hanya hudud atau undang-undang Islam mampu memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan kekeliruan seperti kes ini.

Tambahnya, bagi mengelak keputusan begini terus berlaku, beliau menyarankan PKR dan DAP memberi keyakinan kepada Pas untuk melaksanakan hudud didalam pemerintahan negara.

“Ia juga mengingatkan kita  semua, hanya undang-undang syariah sahaja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seleruh kekeliruandan fitnah sebagaimana kes ini. Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada Pas untuk membawa perjuangan sehingga berdaulatnya undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan’addin’ yakni cara hidup islam,” kata Hadi.

Hadi juga menegaskan keperluan ahli dan pemimpin PR bersatu-padu secara penuh harmoni dalam kemajmukan, agar menjadi kuat dan teguh serta mampu menumbangkan Barisan Nasional.-Alip Danial/Utaranews.com-

ep2p-2