Curi beg ketika baca doa Qunut.

Ketika azan solat Subuh berkumandang, dia sudah berada di pekarangan* Masjid Seksyen 7, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kehadirannya pada awal pagi itu bukan untuk mengerjakan ibadah, sebaliknya mahu melakukan jenayah.

Ketika semua jemaah sedang khusyuk menunaikan sembahyang, dia menyelinap masuk ke dalam ruang solat wanita untuk mencari ‘habuan’.

Sebaik doa qunut dibaca, remaja lelaki berusia 20-an itu mengambil tas tangan milik salah seorang jemaah wanita tanpa disedarinya, lalu menuju ke belakang untuk menyelongkar isi kandungannya.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengambil beg tangan seorang lagi jemaah dan terus beredar.

Namun, perbuatannya disedari oleh pemilik beg tangan itu yang cuba mengejarnya bersama-sama pengawal keselamatan tetapi suspek berjaya meloloskan diri.

Mangsa dikatakan kehilangan wang tunai kira-kira RM500 dan dokumen pengenalan diri.

Perbuatan suspek telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam masjid berkenaan.

Pengerusi Biro Penerangan dan Perhubungan Awam Masjid Seksyen 7, Tarmizi Abd. Kadir berkata, ini merupakan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di masjid tersebut sejak mula dibuka kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV, suspek dilihat memasuki masjid me-
lalui pintu belakang.

“Berdasarkan rakaman itu, suspek cukup licik menjalankan jenayah itu.

“Meskipun mempunyai pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam, suspek kelihatan mahir dengan selok-belok masjid ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau turut menasihati semua jemaah supaya mengawasi barangan berharga masing-masing berikutan perbuatan mencuri di masjid dan surau semakin menjadi-jadi.

ep2p-5small