“Cukai kertas” 90 sen setiap bulan kepada rakyat P.Pinang.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan tetap mengenakan caj tambahan sebanyak 90 sen untuk pembayaran bil utiliti air di Pos Malaysia.

Ia adalah berikutan kete­tapan PBAPP yang tidak akan memberikan subsidi bagi bayaran yuran perkhidmatan tersebut yang dikenakan Pos Malaysia meskipun didesak banyak pihak sebelum ini.

Menurut Pengarah PBAPP, Lim Hock Seng, subsidi berganda tidak akan lagi diberi kepada pengguna yang ingin membayar bil air mereka di Pos Malaysia selepas penduduk di negeri ini menikmati tarif air domestik terendah dalam negara.

“Pengekalan tarif air domestik terendah di negara ini memerlukan PBAPP menanggung subsidi dan untuk tahun lalu sahaja sebanyak RM67.5 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Difahamkan, pengguna negeri sebelum ini merungut kerana tindakan PBAPP memindahkan caj yuran perkhidmatan yang dikenakan Pos Malaysia itu kepada mereka sekiranya membayar bil utiliti itu di pejabat pos bermula 1 Januari lalu.

Sehubungan itu, tindakan PBAPP itu turut dipersoalkan kerana tiada makluman rasmi mengenainya selain peringatan mengenai bayaran tersebut yang tertera pada bil juga terlalu kecil sehingga tidak disedari pengguna.

Dalam pada itu, tindakan PBAPP juga diselar penduduk kerana telah menaikkan surcaj air seba­nyak 100 peratus selain masih menunggu keputusan kenaikan tarif air di negeri ini.

Walau bagaimanapun Hock Seng ber­kata, bagi pengguna yang tidak mahu dikenakan yuran perkhid­matan tersebut, mereka boleh membayar bil secara terus di kaunter PBAPP atau di Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pusat perkhidmatan Telekom Malaysia (TM).

Hok Seng dalam kenyataannya turut menambah, selain itu, pihaknya telah menyediakan kemudahan perbankan menerusi pembayaran ‘PBAPP Online’ dan ‘PBAPP Prepaid’ bagi menjelaskan bil.  – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-2