Azmin anggap lebi layak jadi Ketua Pembangkang berbanding Guan Eng.

Dalam satu kenyataan akhbar, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dikatakanberpeluang lebih cerah dan disandarkan harapan untuk menyatukan kembali pakatan pembangkang yang kini seolah-olah dilihat berada di ambang perpecahan ekoran pertelingkahan politik antara Pas dan DAP.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor itu berkata, sekiranya dilantik sebagai Ketua Pembangkang, setiap tugas yang diamanahkan akan dilaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan melahirkan kesyukuran sekiranya beliau dipilih untuk menggantikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara lima tahun.

“Alhamdulillah kalau dipilih dan saya akan buat kerja. Apa juga amanah yang diberi saya akan laksanakan,” katanya kepada pemberita di Subang, Selangor, semalam.

Beliau yang juga menggalas jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu menambah, keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat perlu dilihat terlebih dahulu sama ada beliau bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Bukan soal saya mahu atau tidak tetapi kekuatan Pakatan Rakyat adalah kita melakukan perbincangan dan membuat keputusan atas muafakat serta konsensus. Jadi, kita tunggu mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang, Jumaat nanti,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, memandangkan para pemimpin dalam pakatan pembangkang sememangnya berupaya dan cekap untuk menjadi ketua, perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk menduduki jawatan berkenaan.

“Kemudian kita akan membuat pilihan berdasarkan keputusan konsensus kesemua ketua pakatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau dengan tegasnya menyatakan bahawa Anwar kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor walaupun menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Anwar kekal menjadi penasihat. Kenapa tidak? Maksud saya, beliau boleh menyuarakan pesanan menerusi peguam dan keluarganya. “Malah pakatan masih memerlukan nasihat dan tunjuk ajar beliau,” katanya.

Sumber melaporkan, selain Mohamed Azmin, terdapat calon lain yang layak dipertimbangkan untuk jawatan berkenaan iaitu Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-2