Artis seksi ini mengaku lebih selesa jadi Janda..

Status janda yang dipegang penyanyi Elergi Sepi, Azharina Azhar, 23, atau lebih mesra disapa Nina tidak menghalangnya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Malah bagi penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu ini, dia kini semakin tenang dan gembira dengan kehidupan barunya yang kembali ‘single’ itu.

Sungguhpun jodohnya dengan bekas suaminya, Datuk Syukri Mohamad yang merupakan seorang peguam dan ahli perniagaan itu tidak panjang namun ia bukanlah petanda berakhirnya hubungan mereka kerana hubungan mereka semakin akrab berbanding ketika berkahwin dulu.

“Mungkin inilah yang terbaik untuk kami berdua. Walaupun kami sudah bercerai, tapi hubungan kami masih baik hingga ke hari ini. Secara jujurnya, saya masih sayang dan cintakan dia, tapi sayangnya kami tak ada jodoh untuk duduk sebagai suami isteri. Perkara ini sukar untuk dihuraikan, tapi apa yang boleh saya katakan, kami hanya serasi sebagai rakan baik dan sebagai rakan kongsi perniagaan sahaja.

“Sampai sekarang kami masih cinta dan ambil berat antara satu sama lain. Setiap kali saya jumpa dia, saya akan salam dan cium tangan serta cium dahi dia. Biarlah orang nak kata saya gila, asalkan saya selesa dengan cara macam ni.

Kadang-kadang, dia (bekas suami) pun pelik dengan kelakuan saya, sebab kami dah bercerai, tapi saya tetap hormat dan layan dia dengan baik,” jelas Nina yang mengenali Datuk Shukri itu sejak usianya 17 tahun. Bagaimanapun perkahwinannya yang dibina pula hanya mampu bertahan selama dua tahun.

Diajukan dengan persoalan, tidakkah hubungan baiknya dengan bekas suaminya itu akan mendatangkan perasaan yang tidak senang di kalangan madu-madunya. Dengan tegasnya Nina berkata:

“Terpulanglah mereka nak fikir macam mana. Ini antara saya dan bekas suami dan ia tidak ada kena-mengena dengan mereka (bekas madunya). Sepertimana saya boleh terima hakikat yang kami tidak boleh tinggal sebumbung, seperti itulah mereka kena terima situasi ini dan hormat pendirian saya.

Saya dan bekas suami ada kepentingan masing-masing, bukan hanya sebagai rakan baik tetapi kami juga rakan kongsi yang harus sentiasa bekerjasama.”

Sungguhpun hubungan dengan bekas suaminya itu semakin akrab, namun masih belum terlintas di fikiran Nina untuk kembali bersama dengan bekas suaminya itu.

Kata Nina, tidak mungkin mereka akan kembali sebagai suami isteri setelah apa yang dilaluinya sebelum ini dianggap terlalu perit untuk diterima. Namun dia menolak sekiranya tertulis jodoh mereka untuk kembali bersama di kemudian hari.

Lima bulan menjalani kehidupan sebagai janda, Nina tidak menafikan yang ada kalanya hidupnya terasa sunyi. Bagaimanapun kata Nina, dia masih belum bersedia untuk mencari pengganti, jauh sekali untuk berkahwin lagi.

“Saya berkawan dengan ramai lelaki dan dalam tempoh ini saya banyak keluar dengan lelaki, tetapi sekadar kawan sajalah. Buat masa ini hati saya masih belum terbuka untuk sesiapa, tapi berkawan tu ramai. Jadi jangan hairan kalau nampak saya keluar dengan mana-mana lelaki,” kata Nina.

Mungkin penyanyi bertubuh genit ini terlupa dengan situasi sedemikian akan membuatkan orang memandang sinis kepadanya, lebih-lebih lagi dia kini memegang status janda. Diajukan hal tersebut, kata Nina, dia percaya yang masyarakat sekarang lebih bijak untuk menilai perkara tersebut.

Apatah lagi, dia hanya keluar sebagai rakan biasa dan bukannya dalam keadaan yang bermesra-mesraan. Malah katanya lagi, setiap kali dia keluar, dia pasti akan ditemani oleh pengurusnya dan pasti hal tersebut tidak akan menjadi persoalan.

Namun dalam berjaga-jaga, ada juga gosip yang datang menghambat dirinya, malah dia pernah dikatakan menjalinkan hubungan dengan penyanyi Bard (R One).

“Saya tak tahu macam mana gosip ni boleh timbul, sedangkan Bard tu pernah digosipkan dengan beberapa artis lain sebelum ini. Mungkin masa tu saya baru jadi janda, dan orang sengaja nak buat cerita.

Apa yang saya tahu, orang yang menyebar gambar kami tu ialah kawan Bard sendiri dan dia sengaja nak fitnah kami. Terus-terang saya katakan yang kami hanya rakan baik, lagipun Bard tu sudah bertunang dan saya kenal dengan tunangnya,” jelas Nina.

Dalam pada itu, Nina turut memberitahu yang dia lebih senang berkawan dengan ramai lelaki berbanding perempuan kerana dia sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap kaum sepertinya itu.

“Kalau dibilang, saya berkawan dengan lebih ramai lelaki berbanding perempuan. Kalau seratus lelaki, saya hanya berkawan dengan tiga orang perempuan sahaja. Pada saya berkawan dengan perempuan ni agak leceh, sebab mereka ni lebih suka bergosip dan bercakap benda yang bukan-bukan.

Lagipun mereka ni tak boleh percaya sebab mereka suka merampas dan menggoda suami orang malah saya sendiri pernah mengalaminya. Tetapi berbeza dengan lelaki, sebab mereka lebih terbuka dan bila bercakap dengan mereka pun benda yang berfaedah sahaja dan lebih kepada perniagaan,” ujar Nina yang terkenal dengan sikap lantangnya.

ep2p-2