ANAK GIAN HIDU GAS NEKAD TETAK AYAH

Dungun: Seorang bapa berusia 54 tahun menerima sebelas jahitan di kepala selepas dilibas dengan parang oleh anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka FELDA Kertih, Ketengah Jaya, Isnin lalu.

Kejadian berlaku apabila suspek berusia 25 tahun dikatakan tidak puas hati dengan bapanya yang menghalang perbuatannya menyedut gas dari tong gas di dapur rumah, jam 8.40 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa terkejut apabila melihat anaknya itu menyedut gas dari tong gas di dapur rumah.

Menurutnya, sebaik melihat perlakuan suspek, mangsa yang terkejut kemudian cuba menghalang anak lelakinya daripada terus berbuat demikian.

“Suspek tersentak apabila perlakuannya disedari bapanya lalu melarikan diri ke dalam bilik sambil membawa tong gas itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak puas hati dengan sikap anaknya kemudian mengekori suspek ke dalam bilik sebelum terus memarahinya apabila mendapati suspek meneruskan perbuatannya menyedut gas dari tong berkenaan.

ep2p-5small