AMK P.Pinang “HALAU” Hadi Awang dari PAS.

Perkembangan terbaharu, rakan sekutu dalam pembangkang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Pulau Pinang membuat kenyataan secara terbuka dengan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meninggalkan parti itu.

Timbalan Ketua AMK, Khairil Anuar Kamarudin berkata, desakan tersebut adalah berdasarkan liabiliti Abdul Hadi kepada usaha me­ngukuhkan pakatan pembangkang menerusi tindak-tanduk yang ‘mesra UMNO’.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tersebut jelas menunjukkan ketidakselarian dengan perjuangan ketiga-tiga parti pembangkang, sekali gus menyifatkannya sebagai perkembangan tidak sihat.

Khairil Anuar dalam pada itu turut melahirkan rasa kesal di atas sikap berdolak-dalik presiden itu yang enggan menyatakan pendirian sebenar berhubung isu kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang kembali dibangkitkan.

“Jika masalah kesihatan dijadikan alasan, beliau seharusnya me­ngundur diri dan memberi ruang kepada pemimpin lain.”

“Sehubungan itu, kita memberi tempoh 14 hari kepada beliau untuk membuat kenyataan rasmi dan jika terus berdiam diri, kita tidak akan berhenti mendesaknya,” katanya dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

Khairil Anuar ketika ditemui media telah mengambil peluang dengan ‘mengungkit’ kesilapan Abdul Hadi sepanjang Ahli Parlimen Marang itu mengetuai Pas dan menjadi Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, Abdul Hadi perlu mempunyai kesedaran apabila gagal mempertahankan pemerintahan Pas di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU-11) pada 2004 ketika kepimpinannya sebagai Menteri Besar.

“Kelemahan beliau juga terserlah apabila Pas gagal mempertahankan Kedah dalam PRU-12 serta beliau gagal mengelakkan pertandingan sesama sendiri melibatkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh dalam PRU-13,” katanya.

Selain itu, Khairil Anuar menambah, pihaknya tidak bersetuju berhubung saranan Abdul Hadi terhadap Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) supaya meninggalkan Pas, malah kewujudannya dihargai kerana mahu mempertahankan pakatan pembangkang. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-2