Langkawi: Empat ratus penumpang feri yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah cemas apabila feri yang mereka naiki diselubungi asap di perairan Langkawi, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, feri dua tingkat My Ferry baru berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah menuju ke Kuala Kedah.

Difahamkan, kepulan asap yang dikesan dalam feri dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri.

Sejurus kepulan asap dikesan, anak kapal segera mengarah penumpang memakai jaket keselamatan dan memaklumkan feri akan berpatah balik ke jeti Kuah.

Feri itu tiba di jeti Kuah pada 12.55 tengah hari dan semua penumpang dimaklumkan akan bertolak ke Kuala Kedah secepat mungkin dengan menaiki feri gantian.