Ada pemimpin dalam PAS suka “cirit mulut”… – Mustafa Ali

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan kepada media telah menggelarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki sebagai “cirit mulut”.

“Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS,” kata Mustafa kepada sebuah portal berita.

Zuhdi dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan Mustafa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang menafikan adanya komplot menggulingkan presiden PAS itu.

Menurut Zuhdi, beliau sudah bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan melihat dakwaan dalam bentuk akuan berkanun dan bukti daripada aplikasi Whatsapp berhubung perkara itu.

Beliau menggesa supaya PAS membuka siasatan terhadap kes itu.

“Penafian simplistik Salahuddin dan Mustafa yang tiada komplot untuk menggulingkan presiden PAS, sedikit pun tidak menjejaskan kredibiliti dakwaan ini.

“Lebih daripada itu, penafian kedua tokoh pimpinan kanan PAS ini hanya dilihat seperti ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru’, disebabkan dakwaan itu dalam bentuk akuan berkanun dan setiap helaian bukti-bukti print screen ini ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah,” kata Zuhdi dalam kenyataan medianya semalam.

Mustafa dalam kenyataannya hari ini mengaku beliau memberi jawapan “tiada konspirasi” ketika diajukan persoalan itu.

“Memang saya jawab tiada konspirasi. Apakah Zuhdi nak cadang saya kata ada konspirasi? Kalau saya jawab ada, ia jawapan paling bodoh dari segi akademik dan politiknya sebab ia memang tiada konspirasi,” katanya.

Mustafa berkata, apa yang beliau sebut dan dilaporkan itu tepat, iaitu tindakan demonstrasi tidak bagus untuk PAS.

“Belum berlaku lagi orang guna cara ini sejak kepimpinan ulama hingga kini, untuk tegur pemimpin. Takkan ini kita nak ikut.

“Tindakan ini tidak ikut semangat kepimpinan ulama yang bertindak secara profesional dan bukan emosi. Memang saya tak setuju cara ini,” kata Mustafa.

Walaupun begitu, katanya, beliau mengarahkan Penolong Setiausaha Agung Khairul Faizi Ahmad Kamil menerima memo itu “dan apabila memo diterima, ia menjadi kewajiban saya menelitinya dan membuat penyiasatan”.

“Ini adalah proses yang perlu diambil. Memo sudah ada pada saya sekarang,” kata Mustafa.

ep2p-5small