Yayasan Felda Minta Naskah Terjemahan Al-Quran Edisi Pertama Dipulangkan

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata cetakan pertama naskhah al-Quran itu boleh dipulangkan semula kepada Yayasan Felda atau pejabat Felda berhampiran.

Beliau berkata naskhah Al-Quran berkenaan perlu dipulangkan memandangkan terdapat kesilapan tidak disengajakan pada cetakan pertama namun begitu kesilapan itu telahpun diperbetulkan pada cetakan kedua.

“Kami juga telah membuat pengumuman pada awal cetakan edisi pertama supaya memaklumkan kepada kami jika ada kesalahan ayat atau terjemahan maksud sehinggalah isu ini ditimbulkan,” katanya.

Katanya lagi, Felda memohon maaf atas kesilapan itu dan tidak sama sekali berniat mahu menyinggung perasaan umat Islam.

Mohd Isa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini mengenai teguran pembaca al-Quran berkenaan yang mengesan kesalahan pada ayat lapan Surah Yusuf dan pada Surah Al-An’am ayat 116 dan 117.

Sinar Harian hari ini melaporkan sebuah al-Quran terjemahan dwi bahasa, Melayu dan Inggeris edaran Yayasan Felda didapati tidak lengkap apabila seorang imam mengesyaki ayat lapan dalam surah Yusuf yang dibacanya tergantung.

Imam Surau Taman Selasih, Dzulkarnain Abu Othman berkata kelancaran bacaannya terganggu lalu segera merujuk terjemahan tersebut kepada seorang hafiz walaupun dia menghafal surah Yusuf.

“Saya hafal surah Yusuf. Ketika membaca surah itu dalam terjemahan al-Quran ini, saya rasa ada kekurangan pada ayat lapan yang mana ia melangkau lima perkataan.

“Untuk mendapatkan kepastian, saya rujuk perkara ini kepada seorang hafiz iaitu Ustaz Hasan Alias, yang juga Pengetua Tahfiz Al-Tohiroh. Hasilnya memang benar, pangkal lima perkataan ayat berkenaan tertinggal,” katanya.

Katanya, dia peroleh naskhah al-Quran terjemahan dwi bahasa itu ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Lukut pada Ramadan lalu dan Surau Taman Selasih.

“Selepas disemak, kedua-dua al-Quran terjemahan ini mempunyai kesalahan sama,” katanya. – therakyatpost

ep2p-5small