Tanam Pokok Elak Tanah Runtuh dan Banjir

Menterinya Datuk Seri G. Palanivel berkata usaha itu adalah untuk memulihara semula kawasan yang diterokai secara haram dan pembalakan berleluasa supaya bencana alam seperti banjir buruk dan tanah runtuh tidak berulang.

“Kita perlu kawal dan ambil tindakan seperti di Janda Baik, Pahang yang penanaman pokok di situ sudah kita mula laksanakan. Di Cameron Highlands sejak empat bulan lepas, kita berjaya tanam 600 pokok daripada spesis Damar Minyak, Podo Kebal Musang Gunung dan Meranti Bukit,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam di Ringlet hari ini.

Katanya, bagi usaha penanaman pokok di negeri terjejas banjir, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung kemusnahan alam yang berlaku selain kawasan pembalakan secara melampau dan tanah yang diteroka secara berleluasa.

Kementerian sebelum ini menyasar penanaman 80 juta pokok di seluruh negara selepas kempen menanam 26 juta pokok melebihi sasarannya.

Sebanyak 53.13 juta pokok telah ditanam di seluruh negara dengan anggaran keluasan 65,559 hektar sejak kempen berkenaan bermula dari tahun 2010 sehingga Disember 2013, manakala 30 juta pokok lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selasa lepas, ketika melawat Kelantan yang menghadapi banjir buruk, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan kecuaian manusia menjadi faktor penyumbang bencana banjir teruk.

Kata Najib, pembukaan tanah secara berleluasa terutama sekali pembalakan yang berlebihan memberi kesan kepada alam sekitar kerana tidak ada penahan semula jadi untuk menahan air daripada terus mengalir ke sungai dengan begitu pantas. – therakyatpost

ep2p-5small