Rafizi: RM633 Juta Cukai Petrol Dibayar Oleh Rakyat

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, kerajaan telah mengutip cukai petrol sebanyak RM633 juta bagi Disember 2014 secara senyap, tanpa diketahui rakyat.

Menurutnya, harga pasaran bagi RON95, tidak termasuk jaminan keuntungan dan kos yang diberikan kerajaan kepada syarikat minyak telah menjunam kepada hanya RM1.43 seliter, semalam.

Beliau berkata, keadaan sama juga berlaku kepada harga diesel yang menjunam kepada hanya RM1.56 seliter, semalam, tanpa jaminan keuntungan.

“Sekalipun dengan jaminan keuntungan dan kos yang diberikan kerajaan kepada syarikat minyak sebanyak 32 sen seliter (RON95) dan 23 sen seliter (diesel) seperti yang terpaksa dibayar rakyat sekarang, harganya sepanjang Disember 2014 adalah jauh lebih rendah daripada yang terpaksa dibayar rakyat.

“Pengguna di Malaysia telah membayar harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran, disebabkan dasar penetapan harga oleh Barisan Nasional (BN) ini,” katanya pada Rabu.

Tambah Rafizi, mengambil kira jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak itu, harga RON95 ialah RM2.05 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.75 seliter (pada 30 Disember 2014), berbanding harga yang dibayar rakyat, iaitu RM2.26 seliter.

Jelasnya, harga diesel termasuk jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak ialah RM2.10 seliter pada 1 Disember lalu, dan terus menurun kepada RM1.79 seliter pada Selasa, berbanding harga yang dibayar rakyat, iaitu RM2.23 seliter.

“Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran walaupun tanpa subsidi, BN mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat.

“Sekiranya harga yang diumumkan BN berbeza daripada harga ini, menteri yang terbabit perlu menjelaskan bagaimana harga RON95 dan diesel ditentukan, kerana pengiraan yang dibuat PKR setakat ini menggunakan formula BN sendiri dan harga pasaran MOPS (Mean of Platts Singapore) yang diterbitkan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin BN yang menyangkal pendedahannya, bahawa BN telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap-senyap, akibat mekanisme penentuan harga sebegini.

Katanya, ia bermakna mereka mengesahkan rakyat memang telah membayar cukai petrol dan diesel sejak November 2014 lagi.

“Dengan pendedahan bahawa jumlah cukai yang dikutip bagi Disember 2014 telah mencecah RM633 juta, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajib menjelaskan ke mana wang ini telah dibelanjakan dan kenapa rakyat perlu membayar cukai petrol dan diesel kepada rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang sangat membebankan.

“Saya akan terus membawa isu cukai petrol dan diesel ini hingga ke Parlimen sesi depan, sehingga saya mendapat jawapan yang memuaskan daripada BN,” tegasnya.

– therakyatpost

ep2p-2