Maju Mundur Anak Kerana Ayah

SAM_4209

” );
(function() {
var nn = document.createElement(‘script’); nn.type = ‘text/javascript’;
nn.src = ‘http://synad2.nuffnang.com.my/lr.js’;
var s = document.getElementsByTagName(‘script’)[0]; s.parentNode.insertBefore(nn, s.nextSibling);
})();

DCCK 4 JANUARI 2015  (Gambar hiasan) 

“SAYAterpanggil dengan cerita Sam minggu lalu mempunyai ibu tiri yang kejam. Ia membuat saya merasa amat sedih sebab ada manusia sekejam itu. Sebab dalam keluarga kami tidak ada istilah adik beradik tiri, walaupun arwah datuk satu mempunyai 3 orang isteri dan 17 orang anak, tetapi semua anak-anaknya tidak tahu apa makna perkataan tiri. Kerana semua dididik dengan adil tak kira siapa ibunya.

“Pak Yeop saya pernah bergurau katanya kalau arwah atuk hidup lagi tentu dia dapat emak keempat. Saya tertarik dengan cerita ibu tiri yang kejam ini, kerana ada ketikanya membuat saya kurang percaya sebab tidak semua yang tiri jahat.’’ Itu cerita Zailani dalam emelnya dan ketika kami berbual panjang di telefon selalu lalu.
“Keluarga ayah saya memang besar, pakcik dan makcik saya saja ada 17 orang, sepupu sepapat ada 89 orang, itu belum masuk kira jumlah anak-anak saudara, kalau ditolak campur mahu lebih 200 orang. Itu semua dari keluarga sebelah ayah saya.

“Bak kata orang kampung sendiri, keluarga kami kalau buat kenduri doa selamat atau tahlil arwah tak payah jemput orang lain, keluarga sendiri dah cukup. Kena pasang kemah sebab kalau makanan berhidang mahu makan 30 talam. Punyalah ramai. Tapi keluarga sebelah aruah mak tak seramai keluarga ayah.

“Arwah bapa saya ada 17 adik beradik datangnya dari 3 ibu, arwah ayah saya anak keempat dari 8 orang beradik dengan ibu pertama. Selepas nenek meninggal, atuk kahwin kali kedua. Konsep orang zaman dulu, berkahwin lagi adalah untuk membantunya menjaga anak-anak.

“Jadi arwah atuk kawin lain selepas kematian isteri pertama, begitu juga selepas isteri kedua atuk meninggal dunia tinggalkan 4 orang anak, atuk kahwin lagi kali ketiga. Dengan isteri ketiga aruah atuk meninggal selepas dapat 5 orang anak. Selepas atuk meninggal Pak Yeoplah yang telah ditugaskan ambil alih tugas mengurus hidup semua anak-adik nya dari tiga orang ibu termasuk ibu tirinya.
“Aruah atuk bekas guru. Zaman dulu pendidik amat dihormati. Tidak macam sekarang, sebut saja nama arwah atuk semua orang kampung kenal sangat, kerana kepandaian aruah atuk mendidik dan mendisiplinkan keluarganya khusus anak-anaknya.

“Sudah tentu lah kerana anak ramai, faham faham aje lah dan satu sifat aruah atuk saya yang saya puji beliau tiada diskriminasi pendidikan untuk anak-anaknya baik lelaki atau perempuan, semua mesti pergi sekolah.

“Fahaman inilah yang membanggakan kami. Kami dididik dan diberi pengetahuan bahawa pendidikan amat penting daripada segunung harta. Kerana itulah ramai antara adik beradik ayah dan sepupu saya jadi pendidik ikut langkah arwah atuk.

“Walaupun zaman dulu biasanya anak perempuan ramai tidak diberi peluang bersekolah tetapi menurut cerita arwah ayah saya, semua adik-beradik perempuan ayah mesti bersekolah. Cuma perkara yang saya rasa agak pelik sikit sebab apabila lihat gambar-gambar dulu, semua makcik saya berseluar macam lelaki untuk ke sekolah.

“Akhirnya setelah saya tanya barulah saya tahu aruah atuk mahu semua anak dia bersekolah tetapi pandangan orang kampung ketika itu berbeza dan sukar diubah, pada pandangan mereka anak perempuan tak perlu bersekolah.

“Jadi untuk mengelakkan tanggapan negatif orang kampung terhadap keluarga atuk, maka atuk pakaikan semua anak perempuannya dengan pakaian sekolah lelaki semata mata untuk tidak mendiskriminasi anak-anak perempuannya dalam berpelajaran. Begitu besar wawasan atuk terharap pendidikan kepada anak-anak perempuan.

“Kita tinggalkan sementara cerita atuk dan pentingnya pendidikan kepada anak-anaknya tak kira lelaki mahupun perempuan. Kerana apa yang ingin saya fokaskan ialah mengenai hubungan baik opah saya, yang saya panggil Opah Tipah dengan anak-anak tirinya.

“Hubungan mereka amat akrab. Tak ada langsung perkataan tiri dalam kamus hidupnya. Semua anak-anak arwah atuk Opah Tipah anggap mereka sebagai anaknya sendiri, begitu juga dengan cucu-cucu, semua dia anggap sama, walaupun dari segi hubungan darah keluarga sebelah ayah saya tiada kaitan langsung dengan Opah Tipah, apa lagi dengan emak saya. Tetapi Opah Tipah tetap opah kami semua, tidak ada perkataan opah tiri dalam kamus hidup kami. Itu didikan atuk.

“Lebih menarik Opah Tipah adalah kawan rapat emak semasa emak saya masih hidup. Tambahan pula rumah opah di hadapan rumah keluarga kami. Sejak ayah meninggal   opahlah jadi teman rapat emak. Sebab emak tidak tahu apa yang dia harus lakukan selepas kematian ayah. Jadi dengan bimbingan, nasihat dan hubungan rapat emak dengan Opah Tipah juga adik-beradik ayah yang lain, ibu dapat kekuatan membesarkan kami yang ketika itu masih bersekolah rendah.

“Emak dan Opah Tipah akan ke pekan bersama untuk membeli barang keperluan dapur atau ambil duit pencen, hinggakan ramai orang menyangka bahawa mereka adik beradik. Sebab hubungan mereka terlalu rapat.

“Dalam keluarga kami, langsung tak pernah muncul persoalan tiri sebab kami dibesarkan dengan adil dan saksama. Kalau dulu cerita bawang merah bawang putih kata ibu tiri tu jahat, tapi pada kami cerita itu hanya mitos. Sekadar menakutkan anak-anak yang beribu tiri. Kerana keluarga kami sejak arwah atuk ada lagi hidup kami harmoni dan aman damai tanpa sebarang diskriminasi.

“Biarpun kami berlainan fahaman politik pun kami boleh duduk bergurau senda makan semeja. Itulah didikan dan asuhan arwah atuk pada keluarganya. Kerana beliau amat bertanggungjawab, adil dan tidak pernah membezakan isteri mahupun anak-anaknya, walaupun setelah berkahwin lain. Pada saya di sinilah letaknya kebijaksanaan arwah atuk dalam mendidik anak-anaknya, yang patut dicontohi oleh kaum lelaki yang mempunyai isteri lebih dari seorang atau berkahwin lain setelah bercerai. Sepatutnya suami itu mesti bertanggungjawab dan tegas membela nasib anak-anaknya.
“Ketika emak meninggal lebih 2 tahun lalu, opahlah orang paling sedih. Lebih 6 bulan Opah Tipah tak sanggup menjejakkan kakinya ke rumah keluarga kami sebab dia amat sedih kerana kehilangan menantu juga teman karibnya. Lihat bagaimana arwah datuk membentuk peribadi isterinya, walaupun atuk sudah lama meninggal tetapi hubungan anak-anak tiri dan ibu tirinya amat baik hingga kini.
“Baru baru ini kami adik-beradik menyambut hari jadi Opah Tipah yang ke 80 dengan penuh keceriaan. Saya selalu mendoakan Opah Tipah selamat di dunia dan akhirat kerana walaupun siapa dia, dia tetap Opah kami semua. Arwah emak pernah berpesan jaga dan sayanglah Opah Tipah hingga akhir hayatnya.
“Akhir kalam, moral cerita yang ingin saya kongsikan ialah, di sinilah letaknya peranan seorang suami atau ayah itu amat penting dalam membentukk keluarga. Jika dia boleh mengatur atau membentuk isterinya dengan baik dan adil, maka selamatlah rumah tangganya khususnya nasib anak-anak terbela di dunia dan di akhirat.

“Seorang ayah itu mesti adil, bertanggungjawab dan berkuasa mendidik juga membentuk isteri-isterinya. Kegagalannya boleh membawa kemudaratan, kehancuran dan juga penderitaan kepada nasib dan masa depan anak-anaknya. Lebih penting jangan aniaya hidup anak-anak demi kepentingan sendiri.

“Sebagai ayah sepatutnya dia fikirkan juga jika dia biarkan hidup anak-anak terbiar secara tidak langsung anak-anak tidak akan dapat pendidikan yang baik, sedangkan pendidikan amat penting dalam membentuk akhlak yang mulia. Akhir sekali sayangilah anak-anak anda walaupun buruk macam mana sekalipun mereka. Jangan kerana terlalu sayangkan isteri baru mana anak-anak dari isteri yang lain dibiarkan. Ingatlah mereka juga anak anda yang memerlukan pembelaan dan anda sudah tentu dituntut di akhirat kelak.’’ Itu cerita Zailani panjang lebar dan nasihatnya kepada semua ayah.

 

Carian pelawat:ayah tiri jahat cerpen penulisanCerita ayah tiri jahat dn gambar

ep2p-5small