Ibu Tiri Zalim, Pisahkan Ayah Dengan Anak

SAM_2674 

” );
(function() {
var nn = document.createElement(‘script’); nn.type = ‘text/javascript’;
nn.src = ‘http://synad2.nuffnang.com.my/lr.js’;
var s = document.getElementsByTagName(‘script’)[0]; s.parentNode.insertBefore(nn, s.nextSibling);
})();

DCCK  11 JANUARI  2015  (Gambar Hiasan)

“HANYA mereka yang pernah beribu tiri sahaja yang faham betapa teseksanya hidup sebagai anak tiri. Kami bukan sahaja dibenci, dihina, malah tidak diingini berada dalam keluarga mereka. Memang saya tak nafikan ada kalangan pembaca bertuah mempunyai ibu tiri bertimbang rasa seperti kisah yang dipaparkan minggu lalu, tetapi hidup kami tiga beradik hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana seksanya, namun kami berserah kepadaNya atas kekejaman yang telah dilakukan ke atas kami dulu.

“Setelah ibu dan ayah bercerai, kami dipelihara oleh ayah sendirian. Oleh kerana ketika itu adik bongsu kami baru setahun, ayah terpaksa serahkan pada Tok untuk dibesarkan. Ketika itu saya berusia 5 dan Ipin 4 tahun. Ayah berjanji pada Tok akan ambil adik bila berusia 4 tahun.’’ Itu cerita Ikhwan dan Izam ketika kami bertemu baru-baru ini.

“Tetapi belum sampai 3 tahun ayah berkahwin lagi dengan seorang gadis yang menurut cerita ayah dia bijak dan sangat sayangkan kanak-kanak. Lantas ayah terus ambil adik kerana ayah mahu besarkan anaknya sendiri, lebih penting ayah tak mahu pisahkan kami adik beradik.

“Mulanya memang ibu tiri kami nama Cik Pah (Makcik Pah) layan kami dengan baik, kami ditatang macam minyak yang penuh terutama bila ayah ada di rumah. Tetapi selepas Cik Pah lahirkan anak sulungnya setahun kemudian kami mula merasa penampar dan cubitan Cik Pah. Bab tarik telinga tak usah ceritalah. Lebih teruk bila ayah bertugas luar daerah atau pergi berkursus. Seminggu ayah tak ada seminggu kami menderita. Dia siap beri amaran jika kami mengadu pada ayah kami akan dipukul lebih teruk lagi. Itu yang buat kami takut.

“Lebih teruk setiap kali ayah tak ada makan minum kami dicatu, jangan mimpi dapat makan sedap. Dapat makan nasi dengan sayur rebus dah nasib baik. Malangnya kami tak suka makan sayur. Tapi dia suruh kami telan jugak. Dia sengaja suka seksa kami.

“Paling terseksa jika dia masak nak kata mi bukan, nak kata pasta pun bukan. Sudahlah keras benda tu tak rasa apa pun. Jika kami tak makan kena pukul, jadi terpaksalah kunyah dan telan. Tapi bila dia tak nampak kami buang sebab tak boleh telan. Yang kesian Izam, dia tak berani buang terpaksa telan sampai nak termuntah. Dulu Izam pernah buang mi tu tapi teruk dia kena pukul, Cik Pah suruh dia kutip dan telan. Termuntah-mundah Izam sampai demam.

“Duduk rumah rasa macam neraka, salah sikit kena pukul, kepala, badan, muka, belakang, tangan dan kaki jadi sasaran tangan Cik Pah. Kami tidak dibenarkan masuk dalam rumah kecuali duduk di dapur atau laman. Apa lagi nak tengok tv. Memang diharamkan terus. Bila ayah ada barulah ada peluang itupun cuma sejam pada pukul10 malam. Makan malam jam 9 belum sempat cuci baju dan buat kerja sekolah kena tidur, sebab tu kami selalu pakai baju dan seluar sekolah sampai seminggu baru cuci.

“Ketika saya dan Ipin pergi sekolah kami bukan sahaja lapar malah sering kena marah cikgu. Sebab setiap hari lambat datang sekolah, bukan salah kami, tapi Cik Pah hantar kami ke pintu gate sekolah paling cepat jam 8 atau 8.30 pagi. Sebab dia buka kedai jam 9 pagi. Tetapi dia bangunkan kami setiap hari jam 4.30 pagi suruh siap.

“Dia kejutkan kami guna rotan, batang penyapu atau tali pinggang. Kalau dia tak jumpa bentu tu semua sebab kami sorokkan, dia akan naik atas katil pijak-pijak badan, dada dan perut kami. Izam yang belum masuk sekolah pun kena ikut sama, tapi dia duduk tepi longkang depan kedai Cik Pah. Tak boleh masuk dalam kedai. Jadi untuk elak kena pijak kami tidur bawah katil, tapi tetap kena pukul jugak.

“Ayah pernah nampak kami kena rotan, tapi Cik Pah beri alasan katanya kalau tak pukul kami liat nak bangun tidur sebab pemalas. Tapi entahlah dah nasib kami ayah tak boleh banyak cakap dan kami tak berani buka mulut. Sakit kena pukul pun kami tak boleh menangis atau menjerit, kalau ayah terdengar dan terbangun nanti kami akan dipukul lebih teruk lagi. Itu hukuman!

“Kat sekolah kami mengantuk sebab letih, habis sekolah kebangsaan, ke sekolah agama pula. Sudahlah mengantuk kami kelaparan sebab diberi duit saku 50sen sehari. Kalau ayah ada dia beri RM2.00 seorang tapi dalam kereta Cik Pah minta dan beri kami 50sen. Lepas sekolah agama kami tunggu Cik Pah sebab kedainya tutup jam 8 malam, sampai rumah 9 malam. Habis makan terus masuk tidur, jam 10.30 malam lampu akan ditutup. Itulah rutin hidup kami setiap hari.

“Jadi mana kami ada masa buat kerja sekolah? Lebih teruk Cik Pah burukkan kami pada guru-guru, katanya kami budak degil, kaki melawan, tak dengar cakap, pemalas dan bodoh tak masuk ajar. Bila cikgu marah kami tak jawab sebab cikgu tak akan percaya, malah saya pernah kena baling dengan buku kerana tak buat kerja sekolah.

“Dari darjah 1 sampai 6 semua guru tahu kami datang lambat. Kami 3 beradik dapat cap pemalas. Cik Pah tak perlu pergi sekolah bercerita, sebaliknya ramai guru datang kedai Cik Pah nak tempah baju atau beli bunga. Sambil tempah baju ketika itulah Cik Pah jalankan jarumnya, semua orang percaya cakap Cik Pah. Satu lagi, Cik Pah kalau bercakap mulut manis, pandai drama orang akan terlopong dengar ceritanya. Kerana itu satu pekan K tahu keburukan kami tiga beradik, lagi pun dia ada ramai kenalan kerana bisnes menjahit dan bunganya itu. Guru tak boleh salahkan Cik Pah pasti baju mereka lambat siap.

“Pada saudara mara ayah pun Cik Pah buat cerita sama. Tapi kami tak berani bercerita balik, sebab takut kena pukul. Masuk tingkatan 1 saya masuk sekolah agama begitu juga Ipin. Kami tinggal di asrama. Tinggallah Izan seorang, terok dia kena pukul, dihina, diludah dan dipukul dengan batang paip sampai terpaksa dijahit di kepala.

“Saya tak tahu kenapa Cik Pah bencikan Izam, hingga satu ketika Cik Pah cari jalan dan tuduh Izam mencuri. Terok Izam kena pukul. Dahlah Izam kurus bengkak-bengkak badannya kena belasah. Cik Pah buat laporan polis, kes Izam naik mahkamah, akhirnya Izam masuk sekolah budak jahat. Sedangkan Izam tidak mencuri, Tetapi Izam suka, sebab dia tidak tahan lagi duduk dengan Cik Pah dipukul setiap hari dan dipanggil tikus oleh Cik Pah dan anak-anaknya. Sebab Izam suka memencilkan diri dan bersendiri.

“Maka tercapailah hasrat Cik Pah hendak pisahkan kami 3 beradik supaya hidup kami menderita. Cik Pah mahu tiga orang anaknya dapat kemewahan hidup selain dapat pelajaran terbaik kerana ayah kami mampu, berjawatan tinggi dan memiliki rumah besar.

“Walaupun belajar di sekolah agama saya sempat ambil SPM, tetapi Ipin gagal sebab dia jadi mangsa buli akhirnya lari sekolah. Sementara Izam walaupun cuma hadir 14 hari ke sekolah ketika ujian UPSR dia dapat 2A (BM dan BI). Dalam peperiksaan PMR ketika di sekolah budak jahat dia juga dapat 2A walaupun tak belajar dan tak pergi tusyen. Jadi Izam bukan tikus dan tak bodoh seperti kata Cik Pah. Saya yakin dia boleh pergi jauh jika berpeluang. Tapi apa nak kata dah nasib kami dapat emak tiri yang tak bertimbang rasa apa lagi perikemanusaan .

“Izam ponteng sekolah sebab tak tahan selalu kena marah dengan guru setiap hari gara-gara Cik Pah sengaja lambat hantar dia ke sekolah. Sebaliknya Izam masuk Ciber Café walaupun baru 12 tahun, di situ dia belajar computer dan belajar sendiri memahami bahasa Inggeris. Kini walaupun tanpa sijil, Izam mahir menggunakan computer. Sementara itu Ipin pun lulus SPM walaupun dia terpaksa belajar sendiri dan kemudian dapat sambung belajar di kolej. Boleh dikatakan kami tiga beradik belajar dan hidup sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Dulu kami tiga beradik sering menangis, dan menahan sakit perut kelaparan hingga tertidur di bawah katil. Malah di situlah kami berpakat tidak mahu mengadu kepada ayah, sebab kami tak mahu ayah bergaduh dengan Cik Pah, dan kerana kami tak mahu kena pukul lagi.

“Kami tahu ayah sayang kami, tapi mungkin dia serba salah, atau tertekan. Sebab itu akhir-akhir hayatnya ayah sering solat duha dan solat tahajud. Ipin pernah lihat ayah menangis selepas solat. Kami juga kesiankan ayah, dan diri kami sendiri. Sering berlaku ayah pasangkan kipas ketika kami tidur waktu malam sebab panas dan banyak nyamok, tetapi beberapa minit kemudian Cik Pah pasti masuk bilik kami dan padamkan kipas. Peristiwa itu berlaku tanpa pengetahuan ayah. Bilik kami ayah sediakan tv, kipas dan computer, tetapi Cik Pah sengaja rosakkan tv dan computer sebab tak bagi kami tengok tv apa lagi main computer. Bila rosak Cik Pah tuduh kami. Pastilah ayah marah dan tak beli lagi.

“Kalau Hari Raya jarang ayah dapat balik kampung beraya dengan Tok dan adik beradiknya. Kerana Cik Pah mahu beraya dengan keluarganya, walaupun ibunya tinggal berdekatan.

“Kami tiga beradik tak lama duduk rumah ayah. Saya keluar setelah habis SPM, cari kerja sendiri, Ipin tinggalkan sekolah dan rumah Cik Pah ketika berusia 14 tahun lari duduk dengan kawan. Izam pula keluar rumah apabila dia dihantar ke sekolah budak jahat. Lepas tiga tahun dia keluar tapi langsung tidak dibenarkan balik ke rumah, kerana dicap budak jahat, jadi pandai-pandailah kami nak hidup hingga sekarang. Namun Allah maha besar, kini kami berdikari dan kembali berkumpul adik beradik, walaupun kami cuba dipisahkan sejak kecil lagi.  

“Kini ayah telah pergi tinggalkan kami dalam usia masih muda. Tinggal kami bertiga yang kini berusia dalam lingkungan 20an tahun. Kami tak salahkan ayah atas apa yang berlaku pada kami, kerana mulut kami `terkunci’ daripada bercerita kepada ayah. Biarlah apa yang berlaku jadi pengajaran untuk kami melalui hidup yang mencabar ini.’’ Demikian cerita Ikhwan turut hadir sama adiknya Izam tentang pengalaman pahitnya beribu tiri, semoga menjadi pengajaran kepada semua ayah. Jangan Persia hidup anak-anak anda.

 

 

 

ep2p-2